Bayi Baru Lahir Ditemui Di Lobi Hospital Taiping


TAIPING - Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui di lobi Poliklinik Hospital Taiping di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah berkata bayi yang masih mempunyai tali pusat itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan hospital berusia 52 tahun di atas kerusi di lobi tersebut pada 9.30 pagi.

"Bayi itu ditemui di dalam sebuah beg berwarna biru muda yang berisi lampin pakai buang, satu set pakaian bayi dan tuala.

"Bayi itu telah diserah kepada hospital untuk penjagaan dan ketika ditemui bayi itu mempunyai tali pusat masih merah, sudah dipotong tetapi belum diikat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Harrith Kam meminta orang awam atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan ibu atau keluarga bayi tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Chee Cia Cia atau balai polis Taiping. - BERNAMA