Bekas Amah Aliff Syukri Didakwa Mencuri


BEKAS pembantu rumah jutawan produk kecantikan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, atas tuduhan mencuri tiga utas gelang tangan emas bernilai RM1,500 milik isterinya yang tular di laman sosial, bulan lalu.

Tertuduh yang juga warga Indonesia, Sundari, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mengikut pertuduhan, Sundari didakwa mencuri tiga utas gelang emas berjumlah RM1,509.14 di rumah di Lot 3024, Jalan Melati, Kampung Damai Kuang, pada 4 pagi, 18 Jun lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap wanita itu dan menetapkan 19 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 20 Jun lalu, media melaporkan Aliff mengamuk apabila dia mendapat tahu beberapa pembantu rumahnya membuat pakatan mencuri wang dan barang berharga miliknya bernilai RM100,000.

Ini susulan penemuan satu resit kiriman wang ke Indonesia yang dipercayai dilakukan pembantu rumah wanita bernilai RM7,500.

Beliau kemudian memuatnaik lima video menunjukkan tindakannya menyoal siasat pembantu rumah selain rakaman beliau mengheret wanita itu ke Balai Polis Sungai Buloh.

Sumber : MyMetro