KUALA LUMPUR - Bagi meringankan beban keluarga selepas kematian bapa, Edriz Imran Ramli, 20, gigih berusaha mencari rezeki dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan berniaga sejak berusia 13 tahun.
Pelajar Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Selangor itu pernah bermain alat muzik dan menyanyi untuk meraih pendapatan ketika bersekolah menengah demi membantu ibu serta dua adiknya.
Apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke PSA, sikap berdikari dan ringan tulang itu diteruskan dari semester satu lagi dengan menjual kentang goreng yang dimasak sendiri.
Buat kelainan
"Saya cuba membuat kelainan dengan pergi ke pejabat PSA membawa bakul penuh dengan kentang goreng untuk dijual kepada pensyarah setiap pagi sebelum kelas bermula.
"Di samping itu, saya juga mengambil peluang membuka gerai apabila pihak politeknik menganjurkan program keusahawanan. Melalui cara sebegini, saya dapat menanggung perbelanjaan diri sepanjang berada di politeknik," katanya.
Kesungguhan berniaga menyaksikan anak sulung daripada tiga beradik itu tekun menjual aneka makanan, termasuk salad buah, kerepek dan aiskrim Malaysia aneka perisa.
Bukan itu sahaja, beliau turut bergandingan dengan rakan untuk menawarkan khidmat menghantar barang atau makanan kepada penduduk di sekitar Shah Alam, malah sedang merancang ke arah mengembangkan perniagaan mereka.
Lebih fokus
Selain mendapat duit poket, Edriz Imran berkata, bidang keusahawanan melatih dirinya untuk lebih fokus dan mengasah kemahiran berkomunikasi kerana sering berurusan dengan pelanggan berlainan.
Begitupun, kesibukan berniaga tidak melalaikan beliau akan tanggungjawab terhadap pelajaran yang diakui penting untuk bekalan masa depan.
"Setakat ini, saya tidak berdepan masalah belajar dan berniaga pada masa sama. Segala pengalaman ditimba mendidik saya untuk lebih berdikari dalam kehidupan," katanya.
Fakta nombor
Perniagaan Edriz Imran
RM1 - Harga untuk dua aiskrim Malaysia
RM4,000 - Hampir keuntungan sebulan
Sumber: BH Online