Berjuta Polisi Insurans Tak Dituntut Waris Sejak Lima Tahun Lalu


PETALING JAYA - Lebih RM327 juta daripada polisi insurans hayat tidak dituntut pemilik atau waris sejak lima tahun lalu.

Menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), wang tersebut telah matang tetapi tidak dituntut.

Ia berkata, tahun lalu sahaja kira-kira RM64 juta yang dikemukakan oleh anggotanya kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut di bawah Jabatan Akauntan Negara.

Menurut satu kenyataan kepada The Star baru-baru ini, LIAM memberitahu bahawa nilai keseluruhan itu membabitkan 516,728 polisi insurans hayat yang matang tetapi tidak dituntut oleh pemilik atau warisnya.

LIAM mempunyai 16 syarikat anggotanya.

Sebagaimana Akta Wang Tak Dituntut 1965, syarikat-syarikat tersebut perlu mengemukakan rekod kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut menjelang akhir Mac setiap tahun, dengan memperincikan jumlah yang tidak dituntut dari tahun sebelumnya.

LIAM turut memberitahu hampir semua pemegang polisi yang terbabit tidak dapat dihubungi, di mana kebanyakannya disebabkan butiran untuk dihubungi tidak dikemaskini.

"Cubaan berterusan akan diambil bagi menghubungi pemegang polisi atau waris sebelum tiba penyerahan wajib kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut," katanya.

"Penyerahan mandatori adalah mengikut undang-undang, kebiasaanya setahun selepas cek dikeluarkan di atas nama mereka, dipulangkan kembali dan segala usaha untuk menghubungi penerima gagal," katanya. 

Sehubungan itu, LIAM menggesa pemegang polisi untuk mendaftar sistem bayaran elektronik dengan menyediakan nombor akaun bank yang aktif kepada syarikat insurans hayat mereka.

"Sebaik sahaja akauan bayaran elektronik itu dibuat, syarikat insurans akan memindahkan hasil matang, bayaran tuntutan dan dividen kepada akaun bank mereka.

"Pemegang polisi juga digalakkan untuk mengemaskini butiran peribadi mereka seperti alamat rumah dan nombor telefon untuk dihubungi, dan mempunyai akaun dalam talian bagi memudahkan akses mereka kepada butiran polisi," tambah persatuan itu.

Sumber: Mstar Online