Biarkan Pembangkang Bercakap, Yang Penting Kita Bekerja - Ketua Menteri Sabah


TENOM - Kerajaan Sabah terus bekerja untuk memberi perkhidmatan terbaik tanpa menghiraukan fitnah pembangkang mengenai Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Kita (kerajaan) tidak peduli apa orang atau pembangkang cakap. Biar mereka bercakap.... yang penting kita bekerja," katanya.

Musa berkata kehadirannya dan menteri kabinet negeri serta pegawai kanan kerajaan ketika melawat kawasan di Sabah bukan satu 'persembahan gimik' seolah-olah pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Kami bukan pemimpin bermusim. Kami bekerja setiap hari seperti setiap hari ada pilihan raya.

"BN tidak kenal masa bekerja untuk rakyat. Kami bekerja sebelum pilihan raya, semasa pilihan raya dan selepas pilihan raya," kata beliau pada majlis bersama ketua jabatan dan pemimpin masyarakat Tenom di sini semalam.

Musa juga berkata amalan turun padang telah lama diamalkan olehnya sebagai ketua menteri untuk melihat sendiri perkembangan projek pembangunan di seluruh Sabah.

Di samping itu, beliau berkata amalan itu juga memberinya peluang untuk mendengar masalah dan keperluan rakyat setempat agar keputusan dapat dibuat dengan segera.

Musa memulakan lawatan kerjanya ke Tenom dengan meninjau infrastruktur jalan raya dan program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Jalan Rundum Kemabong, Kampung Kapulu dan Kampung Katubu dekat sini.

Beliau kemudiannya mendengar taklimat pembangunan Tenom oleh Pegawai Daerah Madiyem Layapan di Taman Pertanian Tenom dan seterusnya, merasmikan Taman Herba dan menyertai Program Menanam Pokok anjuran Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di taman berkenaan.

Musa juga ke Kampung Kalanyaan untuk melihat sendiri pembangunan Projek Mini Estet Sejahtera (Mesej), yang akan mengusahakan penanaman pokok getah dan menyediakan 30 unit rumah untuk peserta Mesej.

Beliau mengakhiri lawatan dengan merasmikan majlis pecah tanah pembinaan semula Hotel Tenom oleh syarikat tempatan Kianda Enterprise Sdn Bhd.

- Bernama