Bunuh Anak Kerana Bercinta Dengan Orang Islam


SEORANG lelaki Kristian di Israel, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh anak perempuannya berusia 17 tahun dengan menikam leher mangsa bertubi-tubi kerana remaja itu mencintai lelaki Islam.

Henriette Karra, 17, ditemui mati di rumah keluarganya di Ramle, Israel, dengan beberapa kesan tikaman di lehernya pada 13 Jun lalu.

Menurut laporan itu yang dipetik Daily Mail, bapa mangsa, Sami, 58, ibunya Aliham dan bapa saudaranya ditahan polis kerana merancang pembunuhan itu, seminggu selepas pertelingkahan mengenai hubungan terlarang itu bermula.

Remaja perempuan itu menjalin hubungan dengan lelaki Islam yang dipenjarakan dan merancang memeluk Islam apabila teman lelakinya itu dibebaskan nanti.

Beberapa minggu sebelum kematiannya, dia melarikan diri dari rumah kerana bimbang selepas diancam serta dipukul bapanya.

Dalam pesanan teks kepada rakan-rakannya, Henriette memberitahu mereka keluarganya mahu membunuhnya, antaranya: “Kamu tak akan percaya apa mereka buat kepada saya.. Mereka hantar orang untuk bunuh saya.”

Terdesak, remaja itu tinggal di rumah ibu teman lelakinya namun diketahui keluarganya yang kemudian memaksanya pulang sebelum dia ditemui mati.

Keluarga remaja itu dalam pemerhatian polis kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.

Lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah membunuh anaknya dan memohon dibicarakan.

Sumber: Metro