ALOR SETAR - Kecacatan fizikal yang dihadapi Zaleha Saaban, 44, bukanlah menjadi satu penghalang bagi dirinya untuk terus menempuh kehidupan sebagai manusia biasa.
Wanita yang mempunyai empat orang anak dan mengalami kecacatan fizikal tidak mempunyai jari pada kedua belah tangannya itu telah membuka mata masyarakat apabila berjaya membuka kedai jahit sendiri di Bandar Baharu.
Bukan itu sahaja, Zaleha turut mempunyai dua orang pekerja dan kini mampu membuktikan diri boleh berdiri sama tinggi dan sama rendah dengan pesaing-pesaing yang lain.
Mula berkecimpung dalam dunia jahitan sejak dari tahun 1990 setelah mendapat semangat dan dorongan daripada ibunya, Siti Zawiyah Ismail, 77, dirinya kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri sekaligus membantu suaminya menjana ekonomi negara.
“Selepas habis belajar di tingkatan enam tahun 1987 saya terus kerja di kilang sebab masa itu peluang untuk OKU macam saya sangat kurang dan tiada pilihan.
“Tapi tak berapa lama lepas itu, emak nasihat suruh saya belajar jahit sebab emak kata orang macam saya lebih cerah masa hadapan kalau ada kemahiran ini, lagipun saya dah biasa tolong emak menjahit, taklah susah sangat,” katanya.
Tambahnya, menuntut ilmu jahitan selama lapan bulan, dia kini sudah mampu untuk menerimpa tempahan dan mereka baju fesyen.
“Lapan bulan saya belajar jahit, potong kain untuk buat baju pelbagai fesyen, saya cuba buat baju sendiri dan adik beradik lain. Tapi sudah rezeki saya ramai jiran-jiran tanya dan mahu saya jahit baju untuk mereka.
“Bermulalah tugas saya sebagai tukang jahit sepenuh masa di rumah, mulanya saya hanya guna mesin kaki manual dan kumpul duit beli mesin elektrik pertama dengan harga lebih kurang RM2,000,” katanya. - Kedahnews.com