ALOR SETAR - Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah, Datuk Wira Abdullah Hasnan berkata, perwakilan di Kuala Kedah perlu menggunakan formula calon popular jika mahu kembali merampas keempat-empat kerusi yang mereka tewas tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum 2013, kerusi Parlimen Kuala Kedah, Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Pengkalan Kundor dan Kubang Rotan jatuh ke tangan pembangkang.
"Meletakkan calon 'bidan terjun' pada zaman sekarang sudah tidak relevan. Calon tak semestinya ada jawatan kerana apa yang penting adalah individu tersebut sangat dekat dengan penduduk setempat.
"Kita sudah melihat keberkesanan formula ini di beberapa pilihan raya kecil di mana, calon yang bertanding adalah mereka yang dikenali di kawasan tersebut dan mereka menang dalam pemilihan tersebut," katanya yang hadir pada Persidangan Perwakilan Putri UMNO bahagian itu di sini Jumaat lalu.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah yakin kerusi tiga kerusi DUN dan Parlimen Kuala Kedah mampu diambil semula seperti mana ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menerajui UMNO Kedah.
Beliau mengingatkan, penduduk Kuala Kedah 'rugi' kerana peruntukan kerajaan pusat RM60 juta untuk parlimen itu bagi tujuan pembangunan rakyat tidak diperolehi berikutan kekalahan BN dua penggal berturut-turut pada PRU 2008 dan 2013 di kawasan itu.
Tindakan mensabotaj calon juga tidak harus berlaku jika BN mahu merampas semula Parlimen Kuala Kedah - Kedahnews.com.
