"Catt Ginger" Hina Agong Di Facebook Ditahan Polis


KUALA LUMPUR - Individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di laman Facebook pada 25 Jun lalu, sudah ditahan polis.

Individu yang menggunakan nama 'Catt Ginger' pada akaun Facebook miliknya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara.

Penahanan individu itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi akaun Twitter rasminya (@KBAB51) pagi ini.

"Syabas JSJ KL @PDRMsia bjaya tkap 'Catt Ginger' yg menghina KDYMM YDP Agung. #GoPDRMGo," katanya.


Terdahulu, individu berkenaan didakwa memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang disunting pada bahagian hidung menyerupai hidung khinzir.

Gambar itu dimuat naik bersama komen, 'Selamat Hari Raya' pada hari pertama Aidilfitri yang kemudian viral di media sosial.

Perbuatan itu turut dikecam netizen yang mahu polis mengambil tindakan segera dengan menahan individu yang bersikap biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa laporan polis berhubung perkara itu turut dibuat.

Sumber: BH Online