KAMUNTING - Seorang ibu berdepan detik cemas apabila anak perempuannya yang berusia setahun terperangkap di dalam bilik yang terkunci di rumah mereka di Fairway Height, Taiping Golf Resort di sini, semalam.
Difahamkan, kejadian pada jam 12.15 tengah hari itu berlaku ketika kanak-kanak tersebut dan abangnya yang berusia lima tahun bermain di dalam bilik berkenaan sebelum pintu bilik itu terkunci dari dalam.
Ibu mangsa yang berada di rumah cuba membuka pintu bilik tersebut namun gagal dan menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
Ketua Bomba Zon 2 Perak, Mohammad Yusoff Abdul Rahman berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 12.22 tengah hari.
Menurutnya, sejurus tiba di rumah berkenaan, kanak-kanak itu sedang menangis di dalam bilik yang pintunya masih lagi terkunci.
"Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membuka pintu berkenaan dengan menggunakan peralatan khas sebelum masuk ke dalam dan menyelamatkan kanak-kanak terbabit.
"Kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia diserahkan kepada keluarganya.
"Operasi tamat pada jam 12.31 tengah hari," katanya.
Sumber: Sinar Harian