TUMPAT - Obses pada warna 'pink' mencetuskan idea dua sahabat menjual nasi lemak Hello Kitty berwarna merah jambu dengan kereta Perodua Kelisa yang diubah suai karakter kartun kucing tersebut.
Walau pun baru seminggu berniaga namun identiti comel Hello Kitty dengan nasi warna merah jambu itu menarik perhatian ramai.
Bahkan dari jauh sudah kelihatan kereta yang dimodifikasi dengan aksesori Hello Kitty di pakir di tepi jalan hadapan Sekolah Maahad Muhammadi Tumpat di Kampung Sedar.
Peniaga tersebut, Nurul Aida Zulkifli, 29, berkata, kartun Hello Kitty dijadikan tarikan untuk melariskan nasi lemaknya.
Katanya, nasi lemak itu merupakan air tangan rakan kongsinya, Zaharina Mohd Tahar, 32, dijual dengan harga RM3.50 sepeket.
"Aksesori kereta saya semuanya ditukar warna 'pink', kereta di cat warna 'pink' dihias dengan patung Hello Kitty bagi menarik pelanggan.
"Kami juga pakai pakaian warna 'pink' memulakan perniagaan dari jam 7 pagi hingga 9 pagi," katanya.
Nurul Aida dari Kampung Kok Pasir berkata, dia menghabiskan RM4,000 untuk modifikasikan keretanya itu.
Katanya yang merupakan ibu kepada dua anak, nasi lemaknya itu juga dijual secara online dan menghantar kepada pelanggan menaiki kereta Hello Kitty ini.
Menurutnya, dengan bantuan Zaharina dia akan memperluaskan lagi perniagaan nasi lemaknya apabila akan bergerak ke beberapa lokasi baru.
"Petang Jumaat ini saya akan buka 'carboot' berniaga nasi lemak berdekatan dengan pasaraya Tesco Kota Bharu, sesiapa yang mahu mengikuti perkembangan nasi lemak Hello Kitty boleh ikuti di Facebook Mdm Ngoh Ediey," katanya.
Sumber: Kosmo