PADANG BESAR - Tiga individu termasuk dua rakyat Thailand diberkas Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis kerana cuba menyeludup 58 cicak jenis bearded dragon dan lapan kura-kura jenis sulcata dari Thailand ke negara ini, di sini.
Komandernya DSP Syed Basri Syed Ali berkata rampasan di Kampung Kolam pada 3.30 petang semalam itu adalah hasil risikan AKSEM di Padang Besar.
Kesemua haiwan yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar itu dianggarkan bernilai RM18,100.
"Suspek rakyat Thailand iaitu seorang perempuan berumur 28 tahun dan lelaki 24 tahun membawa haiwan tersebut dengan keretapi dari Bangkok ke Padang Besar untuk djual kepada seorang rakyat Malaysia berumur 36 tahun dari Klang, Selangor.
"Sebaik tiba mereka bergerak ke Kampung Kolam tidak jauh dari stesen kereta api Padang Besar dan diberkas semasa menjalankan urus niaga," kata Syed Basri kepada pemberita di sini, hari ini.
Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 69 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
AKSEM turut merampas sebuah kereta Toyota Estima bernilai RM110,000 dan kes diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Perlis untuk tindakan lanjut, katanya. - BERNAMA