Culik: Dua Penganggur Dihadapkan Ke Mahkamah

  Culik: Dua penganggur dihadapkan ke mahkamah

KLUANG - Dua pengganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang tauke restoran bulan lepas.

Tertuduh B. Haresh, 26, dan M.J Richardass, 28 dan K Prem Rao, 26, yang kini masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama pada 29 Jun lepas kira-kira 6 pagi semasa mangsa, seorang lelaki berusia 32 tahun, dalam perjalanan ke rumahnya di Simpang Renggam dekat sini.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau dikenakan sebatan.

Kedua-duanya hanya mengangguk faham dan tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Kedua-dua tertuduh  juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Ogos depan bagi mengemukakan laporan-laporan berkaitan termasuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Afiq Zuber manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama