Cuma RM6 Sekilo, Pelam Cok Anan Dapat Sambutan Di Kedah


ALOR SETAR – Mempelam Cok Anan mendapat sambutan pada program Sedapnya Makan Cok Anan di Ladang Mempelam Tobiar, Pendang dari 3 hingga 13 Julai ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Othman Aziz berkata sehingga kelmarin, sebanyak 3.9 tan buah dikeluarkan dengan nilai jualan mencecah RM20,000.

Ia dijual RM6 sekilo.

Beliau berkata MADA menyasar 5.5 tan buah mempelam itu akan dijual dengan nilai pulangan RM25,000 sehingga berakhir program tersebut.

“Chok Anan (MA 224) mempunyai potensi untuk pasaran yang lebih luas dan melalui program tersebut, masyarakat akan lebih mengenali produk terpenting kedua MADA ini.

“Lebih utama produk hilirannya mampu membantu peladang MADA meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Mengenai pencapaian MADA kepada petani, Othman berkata pendapatan petani telah dapat ditingkatkan dengan pendapatan sekitar RM91 sebulan pada tahun 1966 kepada RM333 sebulan tahun lalu dan pengurangan tahap kemiskinan kepada 33 peratus. – BERNAMA