DAP Kata Husam Jadi "Role Model" Baru Kepada Rakyat Selepas Nik Aziz


KUALA LUMPUR – “Saya berharap Datuk Husam Musa (Naib Presiden Parti Amanah Negara) akan menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, beliau berharap kembali ke Kota Bharu pada tahun depan bagi menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan Pakatan Harapan Kelantan yang diketuai Husam.

Dakwa beliau, Husam bakal menjadi `role model’ seperti bekas Murysidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Bekas Menteri Besar Kelantan (Nik Abdul Aziz) walaupun beliau Mursyidul Am PAS menjadi `role model’ rakyat Malaysia yang bukan ahli PAS.

“Jika Husam dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau akan menjadi `role model’ baru bukan sahaja kepada rakyat Kelantan tetapi rakyat negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Terdahulu Kit Siang dalam kenyataan itu memaklumkan beliau menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran PAN yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di Kota Bharu.

Menurutnya, dalam majlis itu beliau mendapati terdapat perubahan politik yang kuat sedang melanda Kelantan yang ketika ini masih ditadbir oleh PAS.

Husam dilantik sebagai Naib Presiden PAN tanpa melalui pemilihan parti itu selepas beliau dipecat daripada PAS pada 23 April tahun lalu.

Beliau dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan PAS dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengkritik partinya sendiri.

Husam berperangai demikian sejak gagal mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden PAS dalam pemilihan parti itu dua tahun lalu.

Beliau dan beberapa bekas pemimpin PAS termasuk Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub tewas dalam pemilihan itu kerana dilihat terlalu taksub kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Mohamad dan Salahuddin kemudian menubuhkan PAN bagi menyertai DAP dan PKR dalam gabungan baru pakatan pembangkang dikenali sebagai Pakatan Harapan. -Kedahnews.com