ALOR SETAR - Orang awam dinasihatkan supaya tidak memberi makan kepada anjing liar dengan sesuka hati dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melakukan sedemikian.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi mencegah pembiakan haiwan liar berkenaan yang kini dilihat semakin tidak terkawal.
Selain itu, individu yang tidak mempunyai lesen untuk membela anjing atau memberi makan haiwan liar berkenaan juga turut akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 kerana melanggar syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
“Untuk permulaan, MBAS akan memberi amaran dan nasihat kepada individu berkaitan, bagaimanapun sekiranya masih berdegil, dia berkemungkinan akan dikompaun," katanya.
Tindakan tegas itu diambil ekoran pembiakan haiwan liar tersebut tidak dibendung hingga mengakibatkan timbulnya penyakit anjing gila.
"Setakat ini, sebanyak 100 anjing liar telah ditangkap anggota penguat kuasa MBAS sejak awal tahun.
"Semua anjing liar yang ditangkap akan dikuarantin terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya.
"Bagaimanapun katanya, masalah anjing liar sekitar bandaraya masih terkawal hasil pemantauan berkala penguat kuasa MBAS," katanya.
Tambahnya, orang awam yang berhasrat membela anjing diminta membuat permohonan lesen dari MBAS terlebih dahulu.
Malah, sekiranya orang awam mengesan kehadiran anjing gila maka boleh kemukakan aduan melalui aplikasi sosial Whatsapp kepada MBAS atau datang sendiri ke bilik aduan. - Kedahnews.com