KUALA TERENGGANU – Sering berdepan ancaman bunuh bukan hanya terhadap dirinya tetapi anak dan juga seluruh keluarga sekiranya membuat laporan polis.
Ugutan itu yang membimbangkan Nor Syafiqah Abd. Kadir, 27, hingga dia terpaksa mendiamkan segala perbuatan jenayah suaminya terhadap Allahyarham Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman, 5, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera lelaki tersebut di Felda Tenang, Besut, Rabu lalu.
Ibu kepada kanak-kanak malang itu berkata, walaupun hatinya pedih setiap kali melihat anaknya dipukul lelaki berusia 38 tahun itu, tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa ekoran ancaman tersebut.
“Saya takut kepada dia. Dia selalu ugut nak bunuh saya, Amsyar dan seluruh keluarga kalau saya buat laporan polis.
“Kalau kami bergaduh, Amsyar lah yang jadi mangsa pukul abang (suami). Masa kami baru berkahwin dulu, saya pun pernah melalui nasib sama,” katanya.
Ketika kemeriahan Aidilfitri masih terasa, penduduk di Felda Tenang dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Besut kira-kira pukul 3.30 pagi dan difahamkan keputusan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini menunjukkan kematian Muhammad Hairil Amsyar berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecilnya.
Nor Syafiqah memberitahu, dia berkahwin dengan lelaki berkenaan pada 2014 dan suaminya sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan mendera mangsa ketika mereka tiga beranak menetap di Kuala Lumpur pada 2015.
Katanya, pada masa itu Amsyar dimasukkan ke Hospital Serdang bagi menerima rawatan akibat kecederaan didera.
Sementara itu, nenek kepada Muhammad Hairil Amsyar, Roslina Daud, 50-an berkata, dia tidak mengetahui nasib yang dialami dua beranak tersebut kerana anaknya merahsiakan penderitaan yang dialami daripada pengetahuan keluarga.
Roslina yang menetap di Patani, Thailand berkata, hatinya sebak melihat mayat cucu keenamnya sedangkan pada hari raya kedua kanak-kanak berkenaan dilihat cukup seronok menggayakan baju raya dan bermain bersama sepupu lain ketika mereka sekeluarga berkumpul di rumah keluarga di Kampung Bukit Tanah, Besut.
Sumber: Sinar Harian