Dr. Mahathir Tak Sesuai Lagi Bertanding Pada PRU14


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini dilihat tidak lagi relevan untuk menjadi wakil rakyat walaupun beliau berjasa ketika 22 tahun menerajui pentadbiran negara.

Rakyat pula kini lebih celik serta matang untuk menilai,  yang sudah tentu mahukan wakil rakyat di kawasan mereka terdiri pemimpin yang mampu bekerja dan sentiasa berdampingan rapat dengan penduduk setempat.

Bagi Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, rakyat akan mendengar isu-isu semasa yang dibawa oleh Dr. Mahathir tetapi untuk menjadi wakil rakyat atau Ahli Parlimen beliau dilihat tidak bersesuaian lagi.

Faktor umur dan penglibatan beliau dalam kem pembangkang sekarang, apatah lagi penentangannya beliau terhadap parti keramat UMNO yang mengangkatnya dahulu akan menyebabkan beliau ditolak oleh ahli UMNO dan rakyat yang mendokong kerajaan.

" Dalam suasana negara dan dunia semasa, saya berpendapat Dr. Mahathir tidak sesuai lagi bertanding pada PRU14, " katanya ketika dihubungi Kedahnews.com hari ini.

Semasa bercakap kepada Bernama dalam satu program anjuran Jabatan Penerangan di Sungai Petani kelmarin,  Md Shukri berpendapat UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Kedah perlu berani keluar daripada kepompong selesa dengan meletakkan calon yang didambakan rakyat pada Pilihan Raya Umum nanti, jika mahu melihat tampuk kepimpinan negeri terus diterajui parti itu.

Dikhabarkan Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkemungkinan bertanding di Parlimen Langkawi atau kembali ke Parlimen Kubang Pasu pada PRU ini.

Parlimen Langkawi kini diwakili Datuk Nawawi Ahmad sementara Kubang Pasu oleh Datuk Seri Johari Baharum.


Dalam hal ini Shukri berpendapat Dr. Mahathir tidak sesuai lagi 'turun ke bawah' kerana rakyat sekarang memerlukan  pemimpin yang sentiasa dekat dengan mereka dan mampu memberikan perkhidmatan sepanjang masa.

Baru-baru ini DAP mencadangkan Dr. Mahathir bertanding di Langkawi sementara pemimpin UMNO pula mencabar beliau bertanding di Parlimen Pekan yang diwakili oleh  Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. 

Namun selepas itu, Dr. Mahathir mencabar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk bertanding di Langkawi selepas Ahli Parlimen Sembrong, Johor itu berkata akan mempertahankan Najib jika Dr. Mahathir berhasrat mencabar Perdaa Menteri itu di Pekan.
.
Semasa berucap di rumah terbuka PPBM Kedah di Kulim baru-baru ini, Dr. Mahathir membayangkan beliau sedia bertanding pada PRU ini sekiranya tiada calon yang sesuai seperti juga beliau menawarkan dirinya  sebagai calon Perdana Menteri jika khidmatnya  diperlukan.

Bagaimanapun ramai berpendapat Dr. Mahathir tidak perlu 'turun ke bawah' untuk bertanding pada PRU ini kerana usia dan beberapa faktor lain. Jika beliau gagal, akan merendahkan lagi kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri dan pemimpin Pakatan Harapan.- Kedahnews.com.