BAGAN SERAI - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak dan tidak mempunyai kredibiliti untuk menyentuh isu kehakiman di negara ini, kata Khairy Jamaluddin.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu berkata Dr Mahathir perlu sedar bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab mencetuskan krisis perlembagaan di negara ini pada tahun 1988.
"Krisis perlembagaan pada tahun 1988 berlaku apabila beliau memecat Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Salleh Abas serta lima lagi hakim kanan dan (krisis) itulah yang hendak kita pulihkan sampai hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai di semalam.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan mengulas status beliau di Twitter yang menyebut:
"With all due respect, Tun Mahathir has no credibility to speak about the judiciary. An institution emaciated during his primiership" (Dengan segala hormat, Tun Mahathir tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap mengenai badan kehakiman. Sebuah institusi yang menjadi lemah semasa pentadbiran beliau).
Awal bulan ini, sambil menyatakan sokongan kepada Anwar untuk diangkat menjadi perdana menteri, Dr Mahathir mendakwa bekas timbalannya itu tidak dilayan dengan adil serta keputusan mahkamah dalam kes Anwar jelas dipengaruhi kerajaan.
Anwar dikenakan hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 kerana kesalahan liwat. Beliau pertama kali dipenjarakan pada 1998 kerana kesalahan rasuah dan liwat.
- Bernama