Nampaknya tinggal kurang dua bulan lagi akan berlangsungnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang dijadualkan bermula 19 Ogos depan.
Sedar tidak sedar sudah semakin hampir untuk temasya terbesar di Asia Tenggara itu berlangsung di sini dan sudah pasti kemeriahannya semakin terasa.
Meskipun prestij temasya sukan itu jauh lebih kecil berbanding Sukan Asia, Komanwel apatah lagi Sukan Olimpik, tetapi bagi atlet negara yang beraksi di halaman sendiri, pastinya ia satu penghormatan besar kepada mereka untuk mewakili Malaysia.
Di dalam badminton, kebiasaannya tumpuan lebih diberikan kepada acara perseorangan dan dalam konteks ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan kepercayaan kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta Lee Zii Jia bagi acara perseorangan lelaki.
Sementara acara perseorangan wanita, tanggungjawab itu dipikul oleh Goh Jin Wei serta Soniia Cheah.
Ketika ini, yang mencetuskan kerisauan adalah perseorangan lelaki kerana kita adalah juara bertahan dalam acara itu selepas Chong Wei Feng memenangi emas di Singapura dua tahun lalu.
Melihat kepada prestasi semasa Iskandar, ia sedikit sebanyak mencetuskan kerisauan. Bertambah risau apabila dia tersingkir awal di Terbuka Taiwan yang berlangsung ketika ini.
Mungkin bagi Iskandar, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di temasya Sukan SEA selepas pulih daripada kecederaan belakang yang menyaksikannya tidak dapat beraksi pada perlawanan kompetitif selama beberapa bulan.
Namun hakikatnya tidak. Sebenarnya apabila seseorang pemain itu sudah lama tidak beraksi, sukar untuk mereka mendapatkan kembali rentak permainan dan tahap keyakinan di dalam diri.
Inilah yang berlaku kepada Iskandar. Namun dengan Sukan SEA bakal berlangsung kurang dua bulan daripada sekarang, masih belum terlambat untuknya mencari keyakinan itu semula.
Di sini peranan orang sekeliling terutama jurulatih amat penting. Saya amat berharap dia dapat kembali memperoleh keyakinan itu semula.
Sebab tanggungjawab yang digalas oleh Iskandar sebenarnya cukup besar untuk menghadirkan pingat emas kepada kontinjen negara.
Di pentas ini juga masanya untuk Iskandar membuktikan bahawa dia masih kekal relevan menjadi antara pemain terbaik di Malaysia selepas sekian lama dibayangi kejayaan Datuk Lee Chong Wei.
Nasihat saya kepadanya, gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya.
Walaupun misi untuk memenangi pingat emas dilihat sukar dengan kehadiran seteru dari Indonesia dan Thailand umpamanya, saya tetap meletakkan keyakinan tinggi kepada Iskandar.
Siapa lagi mahu menyokongnya kalau bukan kita sebagai rakyat Malaysia.
Untuk Iskandar, usah terlalu terbawa-bawa dengan kegagalan lalu. Segera kembali meletakkan fokus yang tinggi.
Manfaatkan sebaik-baiknya tempoh baki yang ada untuk melakukan persiapan rapi dan BAM sewajarnya mengehadkan penyertaannya selepas ini.
Mungkin juga dengan kehadiran Datuk Misbun Sidek yang akan memulakan tugas esok selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki akan memberikan suntikan baru kepada Iskandar.
Memang tidak banyak dapat dilakukan oleh Misbun untuk Iskandar.
Tetapi sebagai sebagai pemerhati, saya berharap ada sesuatu yang dapat dibantu oleh Misbun.
Kepada barisan pemain lain, teruskan berusaha untuk memberikan yang terbaik di temasya Sukan SEA nanti. Jumpa lagi.
Sumber : MyMetro