Dua Beranak Disyaki Salah Guna Kuasa Disambung Reman


MELAKA - Seorang bekas Pengurus Eksekutif dan Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) disambung reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang agensi itu berjumlah RM4 juta.

Perintah reman ke atas dua beranak berusia 43 dan 76 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd. Anuar Ostadi hari ini.

Terdahulu, kedua-duanya yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan Kompleks Makhamah Ayer Keroh di sini dengan diiringi pegawai suruhanjaya berkenaan pada pukul 10 pagi.

Kosmo! sebelum ini melaporkan dua pegawai kanan Misdec ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan serta memindahkan wang agensi itu ke akaun syarikat mereka pada tahun 2014 dan 2015.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sumber: Kosmo