IPOH - Dua pusat pengajian agama di Perak terbakar malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden tersebut.
Di Teluk Intan, kegembiraan sekumpulan pelajar perempuan berkumpul sambil berkongsi bercerita pengalaman pulang berhari raya di kampung bertukar panik apabila bilik stor tingkat bawah asrama yang didiami, terbakar sehingga 90 peratus.
Bagaimanapun kejadian yang berlaku kira-kira 11.30 malam di blok bangunan asrama puteri tiga tingkat Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah, Sungai Lampam di sini malam tadi, tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Seorang pelajar, Siti Norroslina Noh, 17, berkata ketika kejadian beliau bersama rakan-rakan sebilik sedang berborak sambil melakukan persiapan untuk ke sekolah hari keesokannya sebelum dikejutkan jeritan pelajar lain.
"Kami pun segera berlari meninggalkan asrama dan melihat api dengan asap hitam membakar bilik stor yang menempatkan katil, tilam, meja dan kerusi,\" katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian di sini malam tadi.
Pengetua sekolah berkenaan Agus Lokman Sulam ketika ditemui berkata pihaknya bersyukur kerana kesemua 68 pelajar asrama puteri itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Agus Lokman berkata asrama perempuan itu menempatkan 85 orang, namun yang pulang sehingga malam tadi adalah 68 orang. Tiada kecederaan luaran dilaporkan serta semua harta benda pelajar selamat kerana bilik asrama mereka terletak di tingkat dua dan tiga.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Zulkafli Abdullah berkata dua jentera masing-masing dari balai Teluk Intan dan balai Hutan Melintang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan? kebakaran.
"Kemerebakan api juga tidak berlaku disebabkan dinding batu. Kami mengambil masa kira-kira 15 minit mengawal kebakaran itu," katanya sambil menambah punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Di Pengkalan Hulu, kira-kira 200 kilometer dari sini, 18 pondok penginapan Madrasah Addiniah al-Latifiah atau lebih dikenali dengan panggilan Pondok Pak Teh di Kampung Kuak Luar terbakar kira-kira 11 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira 11.27 malam dan mengerahkan dua jentera masing-masing dari Balai Bomba Pengkalan Hulu dan Baling, Kedah ke lokasi kebakaran.
"Sebaik tiba api sedang marak membakar pondok penginapan di bahagian belakang sekolah berkenaan, namun semua 66 pelajar yang ada ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya "dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya operasi memadam kebakaran yang tamat pada kira-kira 1.30 pagi itu turut dibantu anggota polis dan Tenaga Nasional Berhad. - BERNAMA