REKA bentuk topi yang unik dan dijual dalam kuantiti terhad sentiasa menjadi ‘buruan’ dua sahabat ini bagi memenuhi koleksi simpanan topi vintage mereka.
Bagi Mohd Faisal Zakaria, 30, dan sahabatnya, Malindo Erwindu, 31, koleksi topi vintage mempunyai keunikan tersendiri dan nilainya mampu mencapai ribuan ringgit mengikut ciri ‘rare’ yang ada.
Mohd Faisal berkata, hobi mengumpul topi ini bermula sejak zaman sekolah dan mula aktif mengumpul pelbagai jenama sejak mula bekerja pada usia 19 tahun.
“Mula-mula tu niat dan simpan sebagai koleksi peribadi tapi bila isteri masa tu 'post' dalam media sosial, ramai yang nak beli sebab koleksi vintage ni jarang ada dan susah dapat.
“Dari situ, saya tengok koleksi topi ni bernilai dan ada yang sanggup beli dengan harga ribuan ringgit sebab ada yang paling ‘rare’ dikeluarkan pada tahun 70-an.
“Kalau ada pun dalam dua tiga unit saja…koleksi yang saya ada pun paling lama dikeluarkan pada tahun 80-an dan banyak sudah dijual kerana diburu peminat tak kira dalam Malaysia mahupun luar negara,” katanya yang menyifatkan koleksi topi ibarat isteri kedua.
Tambah pendapatan
Malindo tidak menafikan nilai yang ada pada topi vintage ini mampu menambah pendapatan.
“Saya pun ada tubuhkan grup, cap & topi bundle dalam media sosial sejak 2015 dan mempunyai pengikut lebih 30,000 seluruh negara yang mana semua pengumpul topi berkongsi koleksi dan jualan atas talian.
“Dalam group ni, kami sesama pengumpul topi dapat berbincang dan periksa ketulenan sesuatu koleksi supaya tidak tertipu…lagipun kebanyakan pengikut datangnya dari luar.
“Kebanyakan si pemburu topi ini akan mencari ciri topi yang dipakai idol terkenal, Ayton Senna dan antara item yang cukup laris seperti 'skoal bandit' dan 'red wings'," katanya.
Menurutnya, kebanyakan orang Malaysia lebih suka kepada topi permotoran dan dia bangga apabila Malaysia juga ada mengeluarkan topi vintage sendiri yang original, lain dari topi luar negara.
“Kalau kita teliti, reka bentuk topi tempatan dengan luar negara cukup berbeza. Kalau dibandingkan rekaan Malaysia dan Jepun, lengkung topi pun tak sama besar dan kualiti tak sama.
“Kebanyakan koleksi simpanan saya dari Taiwan, Jepun, Amerika Syarikat, Malaysia, Indonesia dan Thailand. Paling tinggi harga yang saya pernah jual mencecah RM1,500.
“Ada juga koleksi yang ‘rare’ saya sayang nak jual dan mungkin akan dijadikan warisan keluarga sebab topi ni semakin lama semakin tinggi nilainya,” katanya.
Mohd Faisal dan Malindo masing-masing menyediakan ruang khas untuk pameran topi vintage yang dimiliki dan koleksi bertambah setiap tahun mengikut trend.
Koleksi topi yang ada turut dijadikan rujukan majalah topi berkaitan bagi memastikan ketulenan produk sebelum dijual secara atas talian.
Sumber: Sinar Harian