Dulu Ambil Upah 'Tarah' Rumput Di Kebun Getah Felda, Kini Timbalan Menteri Kewangan



ALOR SETAR - Tidak ramai yang tahu bahawa Datuk Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan  1 sekarang ini adalah anak generasi kedua Felda.

Warga Felda Lubuk Merbau, Kedah sepatutnya berbangga kerana Othman membesar daripada keringat  orang tuanya yang menjadi salah seorang peserta tanah rancangan itu.

Berasal daripada keluarga miskin di Jerlun, penghijrahan keluarganya ke Felda membawa taraf kehidupan keluarganya ke arah lebih baik, dengan pelbagai kemudahan disediakan Felda pada ketika itu, iaitu rumah dan tanah yang perlu diusahakan.

'Dari Jerlun pulang ke Jerlun'. Othman adalah bekas Ahli Dewan Undangan Ayer Hitam dan pernah menjawat Exco kerajaan negeri Kedah.

Kesukaran hidup yang pernah dilalui sewaktu kecil menjadi pemangkin buat Othman untuk berjaya, sehingga akhirnya bergelar anak generasi kedua Felda yang pertama menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan.

Di sebalik kedudukan beliau kini, anak kedua daripada tujuh beradik  berjaya membuktikan kemiskinan tidak pernah  menjadi penghalang seseorang itu untuk berjaya.

Baginya, lebih penting adalah sikap tidak mudah mengalah, rajin dan sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan.

Beliau berkongsi liku-liku kehidupan sewaktu kecil sempena Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini, 

Imbas semula, Othman berkata, keluarganya berpindah ke Felda Lubuk Merbau pada 1970-an ketika usianya 11 tahun dan kesukaran kehidupan yang sukar waktu itu menjadikan dirinya seorang yang tidak malu untuk bekerja dan mempunyai keazaman yang tinggi.

“Kalau berharap wang bulanan RM69.90 pada setiap keluarga ketika itu, kita tidak akan pergi jauh.
“Jadi pada waktu cuti sekolah, saya ambil upah ‘menarah’ lorong di kebun getah dengan bayaran RM6 sehari.

“Di sebelah petangnya pula, saya akan kutip kacang untuk bantu ayah,” katanya yang berazam tinggi untuk jadi pengurus.

Namun katanya, satu peristiwa yang berlaku ketika usianya 13 tahun, mengubah perspektif dirinya untuk lebih berusaha dan berjaya.

“Saya ambil upah isi anak pokok getah di dalam polybag dengan bayaran lima sen setiap satu. Secara keseluruhannya, saya berjaya isi 1,500 polybag dan menjangkakan upah yang saya peroleh RM75.

“Tapi ketika pembayaran pada hujung bulan, nama saya tak dipanggil, menyebabkan saya tak puas hati.

“Sejak itu, saya nekad dan berazam, satu hari nanti saya akan kembali dan menjadi pengurus kepada kamu semua,” katanya.

Kata-kata itu akhirnya berjaya dibuktikan apabila beliau berjaya menjadi Penolong Pengurus Estet di Sime Darby Plantation di Sabah selepas melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selepas itu, Othman menyambung semula pengajiannya di peringkat sarjana selepas dipujuk ayahnya.

“Ayah rayu saya sambung pengajian dan akhirnya saya setuju. Saya anggap ayah sebagai seorang mentor kerana ayah sentiasa meletakkan pendidikan keutamaan kepada anak-anak,” katanya lagi.

Bertitik tolak dari situ, adik-beradiknya yang lain turut terinspirasi dengan kejayaannya dan mengikut jejak langkahnya ke menara gading.

“Daripada tujuh beradik, lima daripada kami berjaya menjejak kaki ke universiti,” katanya.

Menurut Othman, sebagai generasi kedua Felda, jasa dan sumbangan agensi yang dicetuskan oleh Tun Abdul Razak itu untuk membantu golongan bumiputera seperti keluarganya begitu besar ertinya.
“Tanpa Felda, saya tak akan berada di sini. Siapalah saya tanpa Felda. Saya amat terhutang budi dengan Felda.

“Felda mengajar saya menjadi orang yang kuat, berdisiplin dan mempunyai kelangsungan untuk hidup demi melakukan yang terbaik,” katanya.

Justeru, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berharap generasi Felda kini mengambil inisiatif untuk mengubah kehidupan dengan bekerja lebih kuat tanpa meletakkan kebergantungan 100 peratus kepada Felda semata-mata. - Kedahnews.com