KUALA LUMPUR - Tawaran pelacur hanya dibuka kepada pelanggan berbangsa tertentu bagi mengelak kegiatan maksiat mudah dihidu pihak berkuasa.
Itu antara taktik sindiket pelacuran yang dikesan aktif mengiklankan pelacur China dan Vietnam melalui aplikasi WeChat dan laman sosial Facebook.
Hasil risikan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya dengan diketuai Timbalan Penolong Pengarah JIM Putrajaya Mohd Yuzaiman Ahmad mendapati sindiket pelacuran beroperasi di sekitar Petaling Jaya itu hanya menjadikan pelanggan lelaki berbangsa cina sebagai kumpulan sasaran.
Menurutnya, penggunaan bahasa kantonis menyebabkan pelanggan berbangsa Melayu dan India sukar membuat tempahan akibat kekangan bahasa.
“Siasatan turut mengesan beberapa hotel bajet di sekitar Dataran Sunway Mentari, Petaling Jaya dijadikan markas operasi sindiket pelacuran itu.
“Bertindak atas maklumat risikan dan penyamaran, dua hotel bajet di kawasan berkenaan diserbu dan seramai enam wanita China yang menawarkan perkhidmatan seks dicekup bermula jam 9.30 malam kelmarin,” katanya.
Turut ditahan dua lelaki Bangladesh dan dua lelaki Pakistan yang bekerja di hotel berkenaan selain membantu urusan sindiket itu.
Pemeriksaan Harian Metro dalam laman web itu mendapati, setiap wanita itu boleh dilanggan pada harga RM200 hingga RM300 malah ramai yang ditempatkan berdekatan kolej swasta bertujuan menarik pelanggan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Petaling Jaya.
Kebanyakan wanita itu dirakam gambarnya dalam aksi menggiurkan sebelum dimuat naik dalam Wechat, Facebook dan laman web sindiket itu.
Susulan operasi di dua hotel bajet itu, pasukan yang sama menyerbu sebuah unit kondominium yang dijadikan pusat khidmat seks di Ara Damansara di sini, sebelum menahan tiga wanita Thailand yang sedang menunggu pelanggan yang sudah ditempah melalui aplikasi WeChat.
Ketika diserbu, dua wanita itu yang mendakwa menawarkan perkhidmatan urutan batin menanti pelanggan dengan hanya bertuala mandi di atas bilik masing-masing di unit kondominium itu.
Wanita warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sumber: MyMetro