Pastinya ramai yang pernah mendengar mengenai Pinjaman ASB, namun tidak pasti kaedah terbaik bagaimana ia boleh digunakan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan seseorang.
Sememangnya topik ini agak mengelirukan kerana ada pelbagai pendapat dikongsikan mengenai kaedah terbaik untuk mengurus Pinjaman ASB sama ada di Internet, oleh orang perseorangan atau ejen-ejen bank.
Penulis yang baru-baru ini sempat menghadiri Seminar Khas Pelaburan - Pembiayaan ASB anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akhirnya dapat merungkai kaedah terbaik menggunakan pinjaman untuk mengukuhkan tabungan.
Perkara pertama yang diingatkan oleh penceramah ialah, kita perlu menganggap pinjaman yang diambil untuk melabur dalam ASB ini sama seperti kita meminjam untuk membeli rumah atau kereta.
Mengapa? Ini kerana ramai yang mengambil pinjaman ASB, tetapi mengeluarkan agihan pendapatan tahunan yang diterima untuk membayar ansuran bulanan pinjaman berkenaan.
Pada akhir tempoh meminjam, apa yang mereka miliki hanyalah modal yang dipinjam kerana pulangan pelaburan yang diterima digunakan untuk membayar caj pinjaman bank
Dari sudut pelaburan, mereka ini kerugian kerana tidak dapat menikmati manfaat yang sepatutnya diperoleh daripada pelaburan seperti penggandaan modal asal dan perlindungan nilai wang daripada inflasi.
Contoh penggandaan modal asal: katakan anda meminjam RM100,000 selama 10 tahun dengan unjuran agihan pendapatan tahunan 6 peratus. Sepanjang tempoh itu, anda tidak pernah mengeluarkan agihan pendapatan walaupun sekali.
Tahukah anda berapa jumlah tabungan yang anda miliki pada akhir tempoh pinjaman? Berdasarkan kiraan mudah yang saya lakukan menggunakan kalkulator kewangan, anda memiliki wang berjumlah RM180,000 dalam akaun ASB anda.
Namun jika anda menggunakan agihan pendapatan untuk membayar ansuran bulanan, jumlah yang anda miliki pada akhir pinjaman ialah RM100,000, iaitu modal yang anda pinjam. Dan tahukah anda, RM100,000 yang anda miliki itu, nilai sebenarnya mengecil akibat inflasi.
Bagaimana inflasi mengecilkan nilai wang anda? Katakan 10 tahun lalu, anda boleh membeli rumah teres baru di Sungai Buloh pada harga RM200,000, hari ini, harga rumah teres baru di kawasan berkenaan mencecah sehingga RM400,000.
Jadi, jika pelaburan anda tidak berkembang, bagaimana pinjaman ASB itu dapat membantu anda membina kewangan kukuh? Sebagai peminjam, anda hanya membayar caj bulanan kepada bank dan tidak menerima manfaat daripada pelaburan anda.
Ini kerana kuasa faedah kompaun yang merupakan kuasa gandaan wang yang disebut dalam dunia pelaburan, hanya akan berfungsi jika agihan pendapatan atau dividen yang diterima dilaburkan semula.
Banyak yang berlaku ialah peminjam mengambil pinjaman di luar kemampuan dan apabila berdepan masalah membayar ansuran bulanan, mereka menyalahkan ASB dan menamatkan pinjaman lebih awal.
Perkara ini dapat dielak jika peminjam memahami strategi terbaik untuk mengurus pinjaman ASB dan tidak hanya mengambil pinjaman ini sebagai ikut-ikutan atau kerana terpengaruh dengan kata-kata ejen pinjaman yang tidak beretika.
Kesimpulannya, amat penting untuk menganggap Pinjaman ASB sama seperti pinjaman kereta atau rumah. Adakah anda mengharapkan pulangan daripada kereta atau rumah apabila anda membelinya?
Sudah pasti tidak bukan? Kecualilah jika anda menjadikan kereta sebagai ‘Uber’ atau rumah sebagai rumah inap desa atau rumah sewa. Namun, pastinya ada kos lain yang mengurangkan pulangan yang anda terima seperti kos minyak, pengurusan kereta dan rumah dan penyenggaraan.
Jadi, mana mungkin anda meminjam untuk melabur dan kemudiannya mengharapkan instrumen berkenaan menampung pula bayaran bulanan untuk pinjaman berkenaan.
Lagipun, ASB sendiri ialah unit amanah yang merupakan satu instrumen pelaburan yang terdedah kepada pelbagai risiko pelaburan seperti pendapatan daripada pelaburan dan persekitaran ekonomi semasa.
ASB tidak pernah menjanjikan sebarang pulangan tertentu, jadi usahlah anda terpedaya dengan kata-kata mereka yang hanya ‘menjual’ Pinjaman ASB tanpa mendidik anda mengenai risiko yang perlu anda tanggung.
Jadi, jika anda tiada kemampuan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan wang sendiri, lebih baik anda melabur secara tunai saja setiap bulan. Cubalah untuk mendisplinkan diri dan anda akan dapat menikmati manfaat daripada pelaburan.
Sumber: MyMetro