Episod Akhir Andainya Takdir, Raih Jumlah Tontonan 10 Juta


KUALA LUMPUR - Penerbit A.Aida, 46, melahirkan rasa syukur kerana drama terbitan syarikatnya, Andainya Takdir berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 3.5 juta pada episod akhir yang disiarkan pada 2 Jun lalu.

Secara keseluruhannya, drama 16 episod, arahan Along Kamaludin yang disiarkan di slot Samarainda, TV3 itu berjaya mencatat jumlah tontonan sebanyak 10 juta sepanjang ia bersiaran.

Menurutnya, A.Aida Production Sdn. Bhd., telah mengeluarkan kos kira-kira RM600,000 bagi menyempurnakan drama tulisan Wan Mahani Wan Hassan yang dilakonkan oleh Syukri Yahaya, Nina Iskandar dan Puteri Balqis itu.

“Sebagai penerbit, saya gembira kerana produk yang dihasilkan oleh syarikat saya mendapat sambutan ramai. Sokongan yang diberikan oleh penonton, merupakan pendorong kuat untuk saya terus menghasilkan drama-drama yang bermutu.

“Setiap kali menghasilkan drama, saya amat menitik beratkan kualiti dan sebab itu juga saya tidak berkira untuk mengeluarkan kos yang besar. Bagi saya kepuasan penonton perlu diutamakan dan selain itu saya juga suka menampilkan barisan pelakon yang terbaik,” katanya kepada Utusan Online.

Tambah A.Aida atau Zaidah Awang, Andainya Takdir yang bergenre drama berat itu menjadi perhatian ramai kerana jalan cerita yang dipaparkan adalah kisah benar dan dekat dengan masyarakat.

“Sepanjang drama itu bersiaran, saya mendapat banyak maklum balas positif daripada penonton kerana jalan cerita yang diketengahkan tidak klise.

“Selain itu, saya harap drama Andainya Takdir juga boleh dijadikan pembakar semangat kepada wanita-wanita di luar sana yang mengalami nasib yang sama seperti Fatihah,” katanya.

Rentetan sambutan menggalakkan daripada penonton, A.Aida juga bercadang untuk menghasilkan sekuel Andainya Takdir bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Melihatkan sambutan orang ramai, saya tidak kisah untuk membuat drama sekuel. Apa-apapun saya perlu berbincang dengan pihak TV3 terlebih dahulu.

“Untuk sambungan Andainya Takdir kelak, kalau boleh saya mahu kongsi idea dengan orang ramai untuk melakar jalan cerita seterusnya,” katanya. 

Sumber : Utusan Online