Faizal Tahir Perlahankan Aktiviti Seni Demi Projek Amal


FAIZAL Tahir berkata dia sengaja memperlahankan aktiviti seninya pada tahun ini agar setiap projek amal yang dirangka bersama #iAMFAITHMEN dapat diberi perhatian. 

Katanya, pada tahun ini terlalu banyak projek yang dirancang sejak aktiviti itu mendapat sokongan banyak pihak dan pengiktirafan. 

"Ya, tahun ni saya memang perlahankan urusan seni demi #iAMFAITHMEN kerana terlalu banyak projek yang dirancang sejak organisasi ini diiktiraf Jabatan Perdana Menteri setahun lalu.

"Terbaru, #iAMFAITHMEN dengan kerjasama pusat karaoke Red Box dan Awang Brand selaku penaja kempen Raikan Raya, telah memberi saya peluang untuk bersama-sama warga emas Rumah Sri Mesra di mana saya berpeluang memasak sendiri menu yang disediakan," katanya kepada mStar Online. 

Faizal ditemui di majlis rumah terbuka dan penyampaian cek Raikan Raya sempena Syawal kepada Pusat Jagaan Sri Mesra, Ampang, pada Rabu. 

Majlis turut dihadiri pengasas Pusat Jagaan Warga Emas Sri Mesra, Faezah Ali dan 15  warga emas yang diraikan. 

Tambahnya, majlis tersebut merupakan penutup kepada kempen program kebajikan 'Raikan Raya' - Hantar Kad Ucapan Pada Yang Tersayang Sambil Menderma yang dijayakan pada 15 Mei lalu. 

Melalui program berkenaan, pihak Red Box berjaya mengutip sebanyak RM15,252 untuk diserahkan kepada #iAMFAITHMEN sebagai persatuan yang akan mengumpul dana kebajikan pihak warga emas di Rumah Sri Mesra. 

Sumber: Mstar Online