FAM Capai Persetujuan Mekanisme Undian KL2017


KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mencapai persetujuan berhubung mekanisme baharu undian acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc) susulan bantahan Vietnam dan Laos terhadap cadangan FAM yang mahu Malaysia diberi keistimewaan untuk bebas memilih kumpulan selepas proses undian dibuat.

Mekanisme baharu yang akan dilaksanakan pada majlis undian acara bola sepak KL2017 pada Sabtu ini, diharap tidak akan menimbulkan lagi rasa tidak puas hati beberapa negara bertanding.

"Ini kerana, kedudukan dan susunan pasukan pilihan bagi setiap balang dalam mekanisme baharu undian ini diambil kira berdasarkan kedudukan dan prestasi setiap pasukan pada temasya edisi sebelum ini di Sukan SEA 2015 di Singapura," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mekanisme undian baharu itu menyaksikan Malaysia sebagai pasukan tuan rumah akan diletakkan dalam Kumpulan A dan juara bertahan Thailand pada Kumpulan B, manakala undian bagi pasukan seterusnya akan dibuat berdasarkan pencapaian di Sukan SEA 2015.

Jika dilihat, mekanisme undian ini sama seperti yang dilakukandi Singapura dengan susunan pasukan bagi kedudukan undian berdasarkan pencapaian pasukan pada Sukan SEA edisi sebelumnya, kata beliau.

Hamidin berkata mekanisme baharu undian berkenaan akan dihantar ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mendapat kelulusan sebelum diguna pakai pada majlis undian, Sabtu ini. -  BERNAMA