PENDANG - Selalunya Farisha enggan salam dengan orang, tapi dua hari sebelum itu dia salam dengan semua orang termasuk tetamu yang tidak dikenali, kata Mohd Fadhlisham Che Me, bapa kanak-kanak setahun 10 bulan yang ditemui lemas di dalam parit di belakang rumah mereka di Rancangan Tanah Pinggir Bukit Mat Insun, di sini petang kelmarin.
Farisha Afrina ditemui tertiarap di dalam parit itu pada 6.30 petang kira-kira dua jam selepas kehilangannya disedari anggota keluarga.
Mohd Fadhlisham, 39, berkata sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini, Farisha yang juga menghidap jantung berlubang sejak lahir sangat peramah dan keletahnya menyebabkan anggota keluarga sering tertawa. Saya hanya perasan perubahan yang ditunjukkan tetapi tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah kejadian petang kelmarin," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurut Fadhlisham, kali terakhir dia melihat anak bongsunya itu ialah sekitar 2.30 petang ketika dia keluar membeli barangan dapur di pekan Pendang, manakala Farisha dan dua lagi anaknya yang masing-masing berusia lapan dan 12 tahun ditinggalkan di bawah jagaan adik iparnya.
"Isteri saya, Siti Aurah Desa, 35 masih belum pulang dari tempat kerja di sebuah kilang plastik di Padang Lembu," katanya menambah dia menerima panggilan telefon daripada adik iparnya yang berusia 31 tahun kira-kira 4.30 petang.
Katanya kehilangan Farisha disedari selepas adik iparnya melihat pintu belakang rumah terbuka dan terjumpa lampin pakai buang yang dipakai kanak-kanak itu di tepi parit di belakang rumah.
"Saya bergegas pulang dan mengesyaki anak saya terjatuh ke dalam parit kerana hujan lebat ketika itu," katanya menambah dia terus mencari di sepanjang parit tersebut bersama penduduk kampung.
Mayat Farisha ditemukan kira-kira 500 meter dari tempat dia dipercayai jatuh dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah Bukit Mak Insun pada 10.30 pagi semalam.
Sementara itu, ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut. - BERNAMA