BANGI - Kesusahan bergelar pelajar sehingga hanya mampu makan sekali sehari menjadi idea kepada pelakon, Fizo Omar, 32, melancarkan program Sajian Negaraku berkonsepkan ‘suspended meal’.
Katanya, program berkenaan inisiatif keprihatinannya membantu mereka yang memerlukan terutama pelajar, gelandangan dan golongan miskin.
“Program khidmat komuniti ini juga dapat memberi kesedaran kepada kita untuk hidup secara bersederhana, selain dapat menyelesaikan masalah mereka yang terpaksa menahan lapar berikutan tidak cukup perbelanjaan seharian.
“Saya pernah jadi pelajar serta isu tidak cukup duit pernah saya hadapi dan mi segera makanan utama. Ditambah, peningkatan kos hidup berikutan kenaikan harga barangan yang mendadak kebelakangan ini juga menjadi faktor,” katanya ketika ditemui selepas pengagihan makanan percuma kepada pelajar di restorannya, FizoMawar di sini, semalam.
Sebanyak 100 makanan disediakan mereka yang memerlukan dalam agihan pertama itu hasil sumbangan orang ramai menerusi laman sesawang www.negaraku.com/sajian.
Menurut Fizo, dia menggalakkan penderma khususnya pemilik restoran untuk menyokong usaha murni itu.
“Sebagai usahawan, saya percaya, lagi banyak kita berkongsi rezeki lagi murah rezeki yang kita dapat. Saya jadikan program ini sebagai platform menggerakkan konsep menderma dan memberi dalam kalangan usahawan.
“Untuk mereka yang mahu mendapatkan makanan secara percuma, boleh datang ke restoran kami,” katanya.
Sementara itu, pelajar perakaunan Universiti Multimedia (MMU) Atiqah Hanafiah, 20, berkata, program berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan beban berbelanja terutama dari segi makanan.
“Setiap hari, ada pelajar ikat perut, berlapar dan dahaga kerana tidak cukup wang belanja selepas membayar banyak perkara yang diperlukan di universiti.
“Kami memerlukan belanja besar menyiapkan setiap tugasan dan perlu menguruskan wang dengan baik,” katanya.
Selain itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rahimi Zulkifli, 23, berkata, mereka kini berdepan kos hidup yang semakin meningkat sehingga membuatkan wang belanja tidak mencukupi.
“Saya sekarang menjalani latihan industri dan memang memerlukan banyak duit. Jadi, adanya program ini, saya dapat mengurangkan belanja makan dan boleh dapatkan makanan secara percuma yang disediakan,” katanya yang mengambil bidang pengurusan perniagaan.
Sumber: MyMetro