Gadis Trauma Selepas Rakam Video 2 Beradik Bunuh Diri


WANITA yang merakam video kejadian dua beradik perempuan bunuh diri dengan terjun dari tingkat tujuh kediaman mereka di Bandung, Indonesia, mengakui dia berasa trauma selepas video itu kini menjadi tular di media-media sosial.

Elvia Putri, yang merupakan seorang model memberitahu sebuah media tempatan bahawa dia trauma dengan insiden yang berlaku di depa matanya sehinggakan kejadian itu masih terngiang-ngiang dalam kepalanya.

“Jeritan demi jeritan itu masih terngiang-ngiang dalam fikiran saya sehingga membuatkan saya macam rasa nak pindah dari sini,” katanya yang baharu sahaja beberapa bulan tinggal di kawasan sama dengan dua beradik itu.

Selepas memuat naik video tersebut menerusi Instagram Storynya, ia terus tersebar sehingga membuatkan Elvia terpaksa memadamkan video tersebut di laman sosialnya.

Malah Elvia turut menyesal kerana berkongsikan video tersebut dengan pengikut Instagramnya yang mencecah 551,000 followers.

Dia turut berpesan kepada orang ramai di luar sana agar segera memadam video tersebut dan jangan sesekali menyebarkan lagi.

“Tolong fahami keadaan saya, melihat dan mendengar jeritan itu sampai saat itu saya masih takut dan tidak kuat. Tolong hentikan (berkongsi video tersebut), saya berasa sangat trauma dan takut,” katanya lagi.

Video yang dirakam Elvia menunjukkan aksi ngeri bunuh diri dua beradik perempuan yang dipercayai menghidap masalah gangguan jiwa.

Dalam video itu, Elvia menjerit ketakutan sambil beristigfar sebelum gadis kedua melakukan terjunan mengikut jejak langkah kakaknya yang sudah terkulai layu di jalan raya.

Kedua beradik yang dikenali sebagai Elviana, 34, dan Eva Septiani, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Abang kepada dua wanita tersebut, Reonald mendedahkan kedua-dua adiknya mempunyai masalah gangguan jiwa sejak kematian ibu mereka pada 2006.

Kedua-dua adiknya itu juga pernah dirawat di sebuah hospital sakit jiwa Yayasan Penuai Indonesia Bogor bagi memulihkan masalah kemurungan yang dihadapi mereka.

Mereka sekeluarga tinggal di kondominium terbabit sejak dua tahun lalu. – Kedahnews.com