Gempar Kononnya Ada Bom Di Rumah

 

IPOH - "Siapa yang tak takut bom, mujurlah semuanya tidak benar," kata jiran yang mahu dikenali sebagai Edward, 43.

Menurutnya, maklumat mengenai terdapatnya bom di sebuah rumah di kawasan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Buntong 4, malam tadi sedikit sebanyak menggemparkan penduduk yang rata-ratanya tinggal bersama keluarga.

Dia yang mengetahui kejadian itu sekitar jam 7.45 malam segera pulang untuk memastikan ahli keluarganya selamat.

"Tak pernah lagi ada kejadian seperti ini, walaupun pada mulanya tidak percaya, tapi rasa takut itu ada juga bila tengok jalan ditutup dan ramai anggota keselamatan berkawal.

"Sekarang hati dah lega, polis pun dah sahkan tak ada bom di sini," katanya.

Kejadian sekitar jam 7.25 malam itu turut menyebabkan kawasan sepanjang 100 meter di kedua-dua laluan rumah ditutup bagi tujuan keselamatan selama lebih dua jam.

Kes berlaku apabila polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun yang merupakan penyewa rumah terbabit, memaklumkan menerima satu mesej memberitahu terdapat bom di rumahnya itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sepasukan anggota polis termasuk Unit Pemusnah Bom dan Unit Pengesan Anjing (K9) dihantar ke di lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.27 malam bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun katanya, sehingga jam 9.30 malam, tiada sebarang objek dikatakan sebagai bom ditemui sama ada di dalam atau luar kawasan rumah terbabit.

"Polis menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Ujian awal dijalankan juga mendapati, pengadu positif alkohol dengan melebihi had dibenarkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian