Gerunkah Pakatan Harapan Dengan PAS Di Kedah?


ALOR SETAR - Walaupun belum muktamad, pengumuman PAS Kedah bahawa parti itu akan bertanding semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan  Negeri (DUN) pada PRU14, ia sudah cukup 'menggerunkan' musuh ketatnya terutama Parti Amanah Negara (PAN).

PAN yang juga pendatang baharu dalam Pakatan Harapan akan berkongsi kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan juga DAP.

Dua parti baharu itu ( PAN dan PPBM) belum lagi diuji dalam pilihan raya berbanding PAS yang telah melalui pilihanraya lebih separuh dekad.

Jika demikian yang diputuskan kelak, ini bermakna PAS bukan sahaja perlu 'bertempur' dengan Barisan Nasional (BN) tetapi juga 'bersabung nyawa ' dengan parti-parti komponen dalam gabungan pembangkang.

Pada PRU13, PAS bertanding 24 kerusi DUN serta lapan kerusi parlimen. Parti itu menang sembilan daripada kerusi DUN serta satu kerusi parlimen.

Kemenangan PAS itu atas pun atas sokongan PKR dan DAP semasa parti itu berada dalam Pakatan Rakyat (PR) yang kemudian 'dikuburkan' oleh DAP.

Tradisi PAS untuk meletakkan calon bagi kerusi majoriti Melayu menentang Barisan Nasional, namun pada kali ini PAS akan cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kawasan yang berpotensi, kata Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi semalam.

PAS bagaimanapun tidak perlu berebut kerusi lagi, cuma menyusun calonnya sahaja yang dikatakan akan diisi 50 peratus  muka baharu termasuk kalangan profesional.

Namun ramai yang ingin melihat pembahagian kerusi secara adil  antara PKR, PPBM dan PAN di negeri ini.

 DAP pula tidak risau kerana ia hanya bertanding satu dua kerusi DUN sahaja. Mungkin juga satu kerusi Parlimen di bandar.

PAN dan PKR  harus sedar Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir  mempunyai 'kuasa penentu'  kerana kedua tokoh itu bukan sahaja berasal dari negeri ini, tetapi juga 'orang kuat' dalam gabungan pembangkang.

Dr. Mahathir ialah pengerusi sementara Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah  ialah salah seorang Naib Presiden Pakatan Harapan.

Selain PAS,  parti pimpinan Mohamad Sabu (PAN) dan juga PPBM berhasrat itu mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini yang pernah diterajui PAS pada PRU 12.

Jadi di mana pula kedudukan PKR di Kedah? Adakah sekadar memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen?

Namun PKR tidak perlu bimbang. DAP yang hakikatnya sedang  mengetuai Pakatan Harapan memiliki kerusi yang lebih banyak dan suara serta  sokongan  pengundi Cina akan membantunya. - Kedahnews.com