PENGETUA sekolah menengah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM6,591, tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan hukuman itu terhadap Norliza Mat Radzi, 49, selepas membuat penilaian maksimum dan mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang, didakwa memilih syarikatnya iaitu Orean Collection untuk membekalkan bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091 melalui pesanan sekolah.
Bagi dua pertuduhan berikutnya, Norliza melakukan kesalahan sama membabitkan bekalan tuala kecil berjumlah RM500 dan bekalan lima pakej hamper, set fail dan alat tulis, medal perasmian serta dokumentasi berjumlah RM4,000.
Semua perbuatan itu dilakukan di sekolah berkenaan antara 12 Februari hingga 13 April tahun lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ketika membaca penghakimannya, Rozilah berkata tertuduh menyalah gunakan jawatannya sebagai penjawat awam dan elemen berkaitan suapan sememangnya wujud di dalam kes berkenaan.
"Matlamat tidak menghalalkan cara. Tertuduh sebagai pengetua seharusnya memberi tauladan kepada anak bangsa supaya mengikut peraturan.
"Saya harap hukuman ini menjadi kifarah kepada tertuduh. Saya mengadili kes ini berdasarkan segala hujahan dan fakta yang ada," katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap tertuduh sementara menunggu proses rayuan.
Namun, tertuduh dikehendaki membayar denda RM40,500 serta ikat jamin sebanyak RM20,000.
Norliza diwakili peguam bela Mohd Tajuddin Abdul Razak manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azman.
Sumber: MyMetro