SURAT khabar lama dikatakan semakin 'bernilai' apabila harganya akan mencecah naik daripada 70 sen kepada RM1 sekilogram sedikit masa lagi.
Difahamkan, kekurangan bekalan di pasaran secara mendadak sejak akhir-akhir ini menjadi punca utama surat khabar lama jadi lebih mahal.
Beberapa pengusaha syarikat kitar semula berpendapat, akibat kemunculan era teknologi bermaklumat, tidak dinafikan jumlah jualan surat khabar di Malaysia menurun apabila ramai lebih gemar memperoleh maklumat dan berita melalui internet.
Selain itu, akibat tidak adanya inisiatif pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan rakyat, banyak surat khabar dibuang setelah dibaca menyebabkan pengumpulan surat khabar lama semakin berkurangan.
Mereka menganggap, harga surat khabar lama yang dikatakan akan naik sehingga RM1 sekilogram tidaklah terlalu mengejutkan kerana bekalannya amat diperlukan untuk dikitar semula sebagai bahan-bahan industri.
Menurut seorang pengusaha syarikat kitar semula ketika memberitahu China Press, berbanding 2014, jumlah surat khabar lama yang berjaya dikumpulkannya telah berkurangan sehingga 80 peratus.
"Surat khabar lama pada masa ini sememangnya amat diperlukan. Permintaannya begitu tinggi. Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila cetakan surat khabar semakin hari semakin berkurangan," katanya yang dikenali sebagai Tan.
Menurut Tan, tiga tahun lalu, harga surat khabar lama hanya 40 sen sekilogram, kemudian naik sehingga 70 sen sekilogram hari ini dan ia mungkin akan terus naik lagi dalam tempoh terdekat.
Sumber: Sinar Harian