JAKARTA - Polis Jakarta menyiasat anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) selepas remaja itu dituduh menhina agama dan menyebar kebencian melalui video yang dimuat naik di laman sosial.
Ketua polis Metro Jaya, M Iriawan berkata, seorang lelaki membuat laporan polis terhadap video yang dimuat naik Kaesang Pangarep pada 27 Mei lalu.
Lelaki itu mendakwa video yang dimuat naik di laman YouTube itu mengandungi unsur menghina agama dan menyebar kebencian.
“Lelaki itu membuat laporan polis terhadap video berkenaan di Kota Bekasi.
“Saya sudah arahkan ketua polis di daerah itu menyiasat laporan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa Kaesang menyebut ‘dasar ndeso’ yang bermaksud dasar kampung beberapa kali di dalam video bertajuk ‘Bapak Minta Proyek’ itu.
Dalam video selama 2 minit 41 saat itu, Kaesang, 23, pada awalnya mengkritik individu yang suka meminta projek daripada pemerintah.
Kaesang juga menyelar tindakan individu tertentu yang mempengaruhi generasi muda dengan perkara negatif hingga merosakkan mereka.
“Ini adalah satu contoh bertapa buruknya generasi masa depan kita,” katanya
Dia kemudian menayangkan video sekumpulan remaja menjerit, “Bunuh, bunuh, bunuh si Ahok. Bunuh Ahok sekarang,” yang merujuk kepada bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama.
Basuki atau dikenali sebagai Ahok kini dihukum penjara dua tahun selepas didapati bersalah menghina Islam.
Kaesang berkata, tindakan remaja berkenaan adalah hasil daripada ‘dasar ndeso’ tetapi perkataan ndeso itu disenyapkan dalam video berkenaan. - AGENSI