GUA MUSANG - Empat badan bukan kerajaan (NGO) bersama Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang membuat lima laporan polis mahu tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Yang di Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.
Serentak dengan itu juga kira-kira 50 anggota pertubuhan tersebut berkumpul secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Sheikh Razali Sheikh Hamad berkata, empat NGO yang membuat laporan tersebut ialah Majlis Belia Jajahan Gua Musang; Majlis Belia Felda; Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Pertubuhan Kebajikan Amal Jariah Islamiah SeMalaysia (Pekisa).
"Kami bersepakat membuat laporan polis apabila tercabar melihat penghinaan dan perkara tidak sepatutnya dibuat pada gambar Yang di Pertuan Agong.
"Kami menggesa pihak berwajib tidak berdiam diri dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang dikenali sebagai 'Catt Ginger'," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Gua Musang, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Sheikh Razali berkata, pihaknya turut menggesa pihak Suruhanjaya dan Komunikasi Malaysia (SKMM) supaya bertindak segera bagi menghalang gambar tersebut terus tersebar.
"Pihak berwajib perlu menyiasat kerana perkara melibatkan maruah kesultanan dan menghina agama Islam serta rakyat Malaysia.
"Individu ini perlu dikenakan tindakan tegas termasuklah dilucutkan kerakyatan agar menjadi pengajaran kepada pemilik akaun Facebook yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Sumber: Utusan