KOTA BHARU – Pemuda PAS Pusat merakamkan ucapan ‘tahniah’ kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu yang telah dinamakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai bakal Menteri Besar Kelantan.
Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bukan mudah untuk mendapat ‘pengiktirafan’ daripada pemimpin itu, sekali gus dianggap sebagai penghormatan daripada DAP itu sendiri.
“Cuma ingin ingatkan kepada senario ketika selepas PRU13 di mana individu (ADUN PAS) tersebut telah ditolak namanya oleh pihak Istana Kelantan sebagai ahli Exco kerajaan negeri.
“Boleh sahaja nama tersebut diangkat sekali lagi sebagai Menteri Besar sekalipun telah ditolak sebagai Exco. Namun, secara logiknya ia agak mustahil,”katanya dipetik melalui laman sosial facebooknya semalam.
Beliau mengulas isu Pakatan Harapan yang dijangka menamakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya tampuk kerusi di negeri ini bertukar tangan dalam PRU 14 nanti.
Perkara tersebut disuarakan Kit Siang semasa berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Parti Amanah di Dewan Perniagaan Cina di sini.
Ahmad Fadhli berkata, walau bagaimanapun, hanya Kit Siang sahaja yang mengetahui apakah motif sebenar beliau mencadangkan Husam yang telah diketahui ditolak oleh pihak Istana empat tahun lepas itu.
“Apa pun, sekali lagi tahniah. Jarang anak Melayu,”katanya sinis.
Sumber -Sinar Harian