KOTA BHARU – Seorang pelukis batik yang mencuri beg tangan mengandungi wang tunai RM2,300 milik seorang peniaga buah-buahan pada Jun lalu dengan alasan untuk membayar yuran kolej anaknya menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,500 di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Nik Habri Muhamad turut memerintahkan tertuduh, Fazilawati Muda, 43, membayar pampasan sebanyak RM1,500 kepada mangsa selepas dia mengaku bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan.
Sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda dan pampasan tersebut, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.
Tertuduh kemudian menjelaskan denda dan pampasan itu.
Mengikut pertuduhan, Fazilawati didakwa mencuri beg tangan milik Noor Han Ab. Kadir, 39, yang mengandungi wang tunai RM2,300 dan beberapa dokumen peribadi serta kunci kereta di Pasar Siti Khadijah di sini antara pukul 9 pagi hingga 3 petang, 30 Jun lalu.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: Kosmo