Ibu Tunggal Mualaf Mahu Murtad, Serah Dua Anak Adalah Tidak Benar


IBU tunggal mualaf berasal dari Alor Gajah, Melaka menafikan mahu murtad serta menyerahkan dua anak kecilnya kepada orang lain bagi meneruskan hidup.

Nur Hidayah Low Abdullah, 32, ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Bukit Keteri, Chuping, Padang Besar, kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menularkan berita palsu mengenai dirinya.

"Saya juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan atau memberitahu kepada sesiapa bahawa saya ingin menyerahkan anak kepada orang lain.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu mengenainya dan sudah menerima beratus panggilan daripada orang tidak dikenali sebelum jam 5 pagi lagi bertanya mengenai status anak," katanya.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia lapan tahun dan sembilan bulan itu berkata, dia terpaksa menutup telefon bimbit bagi mengelakkan daripada diganggu dengan ratusan soalan yang sama.

Katanya, dia mengakui ada berkongsi maklumat kepada rakan yang dikenalinya, namun tidak menyangka berita disebarkan berlainan daripada perkara sebenar.

"Rakan dikenali itu menawarkan pertolongan untuk membantu saya dan anak-anak.

"Namun saya tidak menyalahkan dia 100 peratus kerana niatnya hanya untuk membantu dan mungkin kerana terlalu banyak ditularkan di 'Whatsapp' sehingga faktanya berubah.

"Bahkan tempat saya berasal juga tidak tepat, saya berasal dari Alor Gajah, Melaka bukan dari Sarawak seperti yang digembar-gemburkan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Abdul Rahim Abdullah dalam satu kenyataan berkata, maklumat yang tular di Whatsapp adalah tidak tepat.

"Nur Hidayah kini aktif mengikuti kelas yang dianjurkan PERKIM, malah dia menafikan akan menyerahkan anaknya dan kembali ke agama asal bagi meneruskan hidup ketika ditemui pagi tadi(semalam)," katanya.

Kisah Nur Hidayah Low Abdullah yang tular di media sosial Facebook dan WhatsApp menyebabkan ramai pihak yang prihatin hadir ke rumahnya semalam termasuk Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pegawai PERKIM Perlis bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan.

Sumber: MyMetro