Ijtima Kutuk Keras Kekejaman Rejim Zionis


KOTA BHARU - Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) kali ke-4 sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Buktinya, dua daripada 20 resolusi yang diputuskan sepanjang tiga hari program berlangsung adalah berkaitan kekejaman Yahudi terhadap Palestin iaitu mengutuk kekejaman berterusan rejim Yahudi terhadap umat Islam di Palestin dan mengutuk penutupan Masjid al-Aqsa untuk tujuan memusnahkannya.

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak seluruh umat Islam bersatu untuk mempertahankan Islam daripada campur tangan kuasa luar.

“Sekarang umat Islam diratah di seluruh dunia. Pelbagai usaha dilakukan mereka untuk memecahkan umat Islam terutama di Asia Barat.

“Saya berharap program Ijtima yang berlangsung kali ini dijadikan sebagai simbol kebangkitan Islam.

“Islam adalah cahaya Allah yang tidak akan terpadam dan sekiranya Islam ditegakkan semuanya akan selamat dan sejahtera,” katanya ketika menyampaikan pidato pimpinan Islam sedunia sempena malam kemuncak Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia ke-4 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Timbalannya merangkap Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pada majlis berkenaan, Tuan Ibrahim turut mengumumkan 20 resolusi yang diputuskan sepanjang program itu berlangsung.

Antaranya termasuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Yahudi terhadap Palestin dan memastikan segala isu, permasalahan membabitkan umat Islam tanpa campur tangan kuasa Barat dan mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu khilafiah (perkara kecil) dalam kalangan masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Mohd Amar ketika ditemui berkata, program Ijtima diadakan sebagai pemulaan kepada umat Islam untuk bersatu menentang keganasan rejim Zionis di Palestin.

“Tugas memerangi rejim Zionis ini adalah tugas seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang, keturunan dan parti politik kerana ini isu agama.

“Ijtima ialah sebahagian usaha untuk meletakkan umat Islam dalam satu kumpulan yang boleh lupakan perbezaan politik, pendapat, pendekatan, dan tumpukan kepada isu sebenar yang menimpa umat Islam,” katanya.

Sumber: MyMetro