Info Palsu Konon Jawatan Kosong PDRM Tular


KUALA LUMPUR – Satu mesej palsu berhubung temuduga terbuka bagi mengisi jawatan kosong Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 kini tular di laman sosial terutama Facebook dan Whatsapp.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad berkata, mesej tersebut tidak benar dan PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman seperti itu.

“Pengumuman rasmi mengenai pengambilan ke mana-mana jawatan PDRM hanya akan dibuat melalui portal rasmi PDRM www.rmp.gov.my dan Facevbook rasmi PDRM,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Sehubungan itu, Asmawati meminta orang ramai yang berminat untuk menyertai pasukan PDRM membuat permohonan di portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam www.spa.gov.my.

Kata beliau, calon yang memenuhi syarat akan dipanggil untuk proses pemilihan jika eksesais pengambilan oleh unit pengambilan PDRM dijalankan. - Kedahnews.com