Ini Parlimen, Kedudukan Saya Juga Macam Hakim, Kata Pandikar Amin


KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan beliau tidak seharusnya menjawab dakwaan-dakwaan yang dikeluarkan ahli Parlimen terhadap keputusannya kerana sebagai Speaker, beliau berfungsi ibarat hakim.

Katanya, sebagai hakim keputusannya adalah muktamad dan tidak bertanggungjawab untuk memberikan pencerahan kepada orang ramai berhubung keputusannya di dalam Dewan Rakyat.

“Saya tidak patut menjawab dakwaan ahli Parlimen kalau di dalam Dewan. Ini Parlimen kedudukan saya sama juga macam hakim.

“Hakim bila jatuh hukum tidak perlu beri pencerahan kepada orang ramai. Di Parlimen lain speaker tidak perlu beri penjelasan masyarakat awam berkenaan keputusan dalam kamar,” katanya dalam sidang media di Parlimen, semalam.

Namun begitu, Pandikar berkata demokrasi di Malaysia agak luar biasa yang mana sesiapa sahaja boleh mengeluarkan sebarang kenyataan termasuk fitnah dan sebagainya.

“Di mana kau sebut boleh, kau fitnah orang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang mendakwa speaker Dewan Rakyat sengaja menolak lebih kurang 30 soalan mereka berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada dibahaskan di Parlimen.

Pandikar bagaimanapun menolak dakwaan tersebut sebaliknya berkata terdapat soalan-soalan berkaitan 1MDB yang dibenarkan untuk dijawab di Parlimen.

“Apabila berada di Parlimen ia adalah tempat terbaik untuk perbincangan kerajaan tetapi tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Parlimen bukan pasar lelong tempat jual ikan ayam, ada peraturan,” tegas Pandikar.

Beliau berkata untuk sesi kali ini pihaknya menerima ribuan soalan dan setiap satunya perlu ditapis berdasarkan peraturan mesyuarat.

Sehubungan itu beliau berkata mana-mana ahli Parlimen seharusnya menyemak soalan-soalan mereka sebelum diserahkan kepada Dewan Rakyat sama ada ianya mematuhi peraturan mesyuarat.

“Parlimen bukan pentas berceramah, kalau mahu berpolitik di luar Parlimen,” tegasnya.

- Bernama