Intan Sarafina Kekal Irama Mendayu-dayu


JIKA rakan artis lain sudah pun merencanakan sesuatu terhadap perjalanan seni masing-masing selepas berakhir Gegar Vaganza (GV3) tahun lalu, Intan Sarafina turut menyimpul perancangan sama.

Akui Intan, selepas bintangnya kembali menyinar selepas beberapa tahun menyepi dari industri, sudah tiba masa untuknya lebih serius terhadap aturan kerjaya sekali gus bintang yang terlebih dahulu popular menerusi lagu Kembali dan Duhai Malam ini mahu membuktikan dirinya bukanlah hanya bersandar pada tiket selebriti ‘tangkap muat’ semata-mata.

“Saya sedar, selepas GV3, ramai beri pengharapan tinggi pada saya, khasnya peminat setia. Ada mahu saya segera menghasilkan single. Namun tidak dapat dinafikan, untuk melahirkan single baru bukanlah tugas mudah.

“Sebaliknya, saya kena pilih lagu yang betul-betul ‘masuk’ dengan jiwa, kena dengan tone suara. Sebab kalau hanya buat sekadar melepaskan batok di tangga saja, rasanya tidak berbaloi langsung. Malah, akhirnya penyanyi itu sendiri akan dilupakan peminat,” katanya ketika ditemui Media Hiburan, baru-baru ini.

Untuk rekod, lagu terakhir yang dirakamkan  lebih lapan tahun lalu berjudul Suratan Buatku.

Luahnya lagi, sebagai penyanyi yang boleh dikatakan senior, dia semahunya inginkan lagu baru yang disuntik dengan elemen semasa, tetapi masih mengekalkan identiti Intan Sarafina.

“Ramai sedia tahu saya setia dengan lagu balada, iramanya mendayu-dayu. Kalau boleh, saya mahu kekal genre itu.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak untuk rakam lagu berentak fast bagi memenuhi permintaan muzik semasa. Alang-alang lama tidak keluar dengan lagu baru. Jadi saya fikir mengapa tidak, kan,” beritahu Intan yang sudah pun merancang  melahirkan album mini tidak lama lagi.

Bakal lancar album mini

Mengikut perancangan, album mini tersebut akan dilancarkan selepas single sulungnya dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kalau nak diikutkan, saya sudah pun rakam sebuah lagu. Tinggal lagi dua buah lagu untuk saya rakamkan dalam tempoh terdekat. Selepas itu, barulah saya bersama pihak pengurusan akan bincang pilih lagu mana boleh push untuk dijadikan single pertama.

“Sementara lagu selebihnya akan dimuatkan di dalam album mini tersebut. Insya-ALLAH, album itu nanti akan mengandungi lima atau enam lagu. Selain Tam (Spider), Ippo Hafiz juga ada sumbangkan lagunya untuk saya.

“Sudah tentunya saya teruja sebab setelah sekian lama, akhirnya impian untuk naskhah baru akhirnya bakal menjadi realiti. Soal lambat atau tidak itu tidak timbul sebenarnya. Sebab saya percaya pada rezeki. Mungkin ada hikmahnya,” katanya lagi.

Minat berlakon

Terdahulu, Intan atau nama sebenarnya, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya turut mengembangkan bakatnya di bidang lakonan.

Kongsi Intan, beberapa tahun sebelum ini dia sudah pun didedahkan dengan dunia lakonan. Malah, pernah muncul menerusi filem Janji Diana pada 2003.

“Baru-baru ini saya ada berlakon dengan Zarul (Umbrella) untuk telefilem Misteri Sofa Lama untuk siaran Astro. Itu merupakan drama ketiga lakonan saya. Saya tidak kisah untuk cuba berlakon kerana itu juga merupakan antara cabang seni yang menarik untuk explore.

“Kalau ada lagi tawaran yang tepat pada masanya, saya tidak teragak-agak untuk terima. Yelah sambil menunggu single terbaru dilancarkan, mengapa tidak untuk isi masa dengan berlakon.

“Itulah bila mula berlakon ni, rasa minat terhadap lakonan itu kian bercambah. Peminat pun ada yang cakap saya patut kembang bakat dan serius dalam lakonan pula.

"Saya ambil setiap komen mereka sebagai satu pembakar semangat dan dorongan untuk terus kekal dalam industri,” ujar Intan.

Pun begitu, ibu kepada tiga cahaya mata ini menambah, dunia nyanyian kekal menjadi minat dan kecintaan utamanya.

Bercerita perihal sambutan Aidilfitrinya pada tahun ini pula, Intan memberitahu sambutan rayanya disambut sederhana, tetapi meriah.

“Saya sambut raya di Kuala Lumpur saja memandangkan keluarga pun menetap di sini. Malah, pada raya kedua pun saya sudah ada tawaran melakukan persembahan. Alhamdulillah dengan rezeki dilimpahkan,” akhiri Intan.

Sumber : Sinar Online