BAITULMAQDIS - Israel berkata semalam ia tidak akan menanggalkan alat pengimbas logam di Masjidil Aqsa namun akan mengurangkan penggunaannya.
Keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memasang alat pengimbas di masjid itu telah menyebabkan pertembungan berdarah dengan penduduk Palestin, terburuk dalam tempoh beberapa tahun.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata beliau akan membekukan hubungan keselamatan dengan Israel sehingga ia membatalkan arahan pemasangan alat pengimbas di pintu masuk Al-Aqsa selepas dua anggota polis Zionis ditembak 14 Julai lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, akhbar The Times of Israel melaporkan, Israel turut meletakkan penghadang tambahan semalam, menyebabkan pelawat perlu melalui barisan kamera pengawasan canggih dipasang pada perancah yang baharu dibina.
Menurut laporan media Hebrew, kamera itu boleh mengenal pasti suspek yang membawa senjata tanpa menggunakan pengesan logam. Pelawat yang dikesan berkelakuan mencurigakan kemungkinan diperiksa polis dengan pengesan logam mudah alih.
Kerajaan nasionalis Netanyahu dilihat berhati-hati mengelak tekanan Palestin di tempat suci itu yang ditawan Israel ketika perang 1967.
"Pengesan logam akan kekal. Pembunuh tidak akan memberitahu bagaimana kita sepatutnya mengesan mereka. Jika penduduk Palestin enggan masuk ke masjid, biarkan mereka," kata Menteri Pembangunan Wilayah Israel, Tzachi Hanegbi.
Berang dengan apa yang dianggap pelanggaran perjanjian status quo selama berdekad di kawasan ketiga suci umat Islam itu, ramai penduduk Palestin enggan melalui pengimbas berkenaan dan menunaikan solat di jalanan sebagai tanda protes. - Reuters