'Isteri Perlu Terima Teguran Secara Terbuka'


KUALA LUMPUR - Penyanyi Hafiz Hamidun mengakui sudah beberapa kali mengingatkan isterinya, Joy Revfa, berhubung penampilan diri dan meminta pasangannya itu menerima teguran netizen secara terbuka jika masih melakukan kesilapan sama. 

Hafiz, 33, yang turut dikenali sebagai komposer dan ahli perniagaan, berkata setiap perkongsian di laman sosial pastinya mengundang kesan tersendiri, sama ada positif atau sebaliknya. 

"Netizen tidak tahu perkara sebenar dan seperti biasa mereka pantas membuat hukuman dan kesimpulan sendiri. "Sebelum ini lagi, sudah beberapa kali saya menasihatinya dalam beberapa perkara termasuk bab penampilan. 

Kalau masih membuat khilaf sama, dia kena menerima teguran itu dengan terbuka.

"Perkara baik yang dimuat naik (ke laman sosial), pasti akan disukai. Kalau sebaliknya, pasti ia akan mengundang pelbagai kritikan. 

"Apabila perkara sebegini berlaku, ia sedikit sebanyak mengganggu saya kerana ada banyak perkara lain yang turut memerlukan perhatian. Saya sebenarnya malas nak melayan hal sedemikian. Selepas ini, dia kena berhati-hati dalam hal sebegini," katanya. 

Hafiz berkata demikian kepada BH Online ketika mengulas mengenai kontroversi isterinya yang menjadi mangsa kecaman dan kritikan netizen apabila gambar penuh yang digunakan bagi promosi produk kelolaan perniagaan wanita berkenaan yang dicop seksi tersebar. 

Gaya ditampilkan menerusi gambar berkenaan dianggap tidak bersesuaian dengan imej Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, 30, yang berhijab. 

Rentetan itu, Hafiz sebelum ini dalam temubual bersama media pernah mengeluarkan kenyataan yang dilihat mengelirukan apabila mendakwa tidak tahu menahu mengenai gambar terbabit selepas memaklumkan disekat daripada melihat akaun Instagram isteri sendiri. 

Namun, Joy menafikan perkara itu dan menganggap ia sebagai fitnah, selain tidak teragak-agak mahu mengambil tindakan undang-undang. 

Kes itu bertambah panas apabila netizen seolah-olah menyalahkan Hafiz kerana tidak menegur dan bertanggungjawab terhadap isterinya dalam soal penampilan. 

Penyanyi Zikir Terapi itu mengakui, apabila situasi sebegitu berbangkit, ramai pihak yang datang bertanya dan mengadu kepadanya. 

"Saya tak kisah orang datang mengadu pelbagai benda mengenainya, tetapi jawapan atau komen daripada saya lebih kepada perkara peribadi serta tidak wajar diperbesarkan," katanya. 

Ditanya mengenai rumah tangganya yang dibina dengan Joy pada 1 Mei lalu selepas bertunang kira-kira dua bulan, Hafiz memberitahu semuanya masih terkawal. 

"Tak ada apa-apa pun yang berlaku dalam hubungan kami," katanya.

Sumber: BH Online