Isteri Tak Cemburu Amar Asyraf Beraksi Intim Dalam Lakonan


AKTOR Amar Asyraf  tidak meminta kebenaran isterinya, Arna Salleh untuk melakukan beberapa aksi intim dan ranjang bersama pelakon Nadia Brian dalam filem Blok 404. 

Tapi jelas Amar, dia membawa isterinya ke lokasi penggambaran filem itu untuk melihat sendiri dia melakonkan babak berkenaan walaupun Arna bukanlah seorang yang kuat cemburu. 

"Saya sebenarnya tak takut isteri marah sebaliknya saya lebih bimbang kalau Nadia gagal melakukan babak itu memandangkan dia tiada pengalaman melakonkan adegan intim. 

"Memang saya bawa isteri ke set penggambaran untuk tengok sendiri bagaimana saya melakonkan aksi itu, senang supaya tidak timbul isu lain. 

"Alhamdulillah dia okey saja kerana dia tahu suaminya ini memang suka berlakon dan apa yang dilihatnya itu adalah semata-mata lakonan," katanya kepada mStar Online. 

Amar atau Amar Asyraf Zailuddin, 31, ditemui pada majlis pelancaran filem Blok 404 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Selasa. 

Selain Amar dan Nadia, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Zamarul Hisyam, Boy Iman, Raja Azrey, Fasha Sandha, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Adrea, Aedy Ashraf dan Ozlynn Waty. 

Ia dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini. 

Sementara itu, Amar berkata, bagi mendapatkan 'feel' dalam menjayakan lakonannya dia berkunjung ke pusat hiburan selama tiga hari berturut-turut untuk melihat gelagat anak-anak muda berhibur.

Malah kata Amar, kajiannya itu membawa padah apabila termasuk ke kelab gay sehingga dia menjadi perhatian di situ. 

"Watak saya dalam Blok 404 memang seorang yang sosial dan bermasalah tetapi saya tidak tahu bagaimana anak muda zaman sekarang berhibur.

"Sebab itu saya pergi ke kelab untuk lihat sendiri agar dapat dipraktikkan dalam lakonan saya dan sebenarnya realiti lebih menakutkan daripada apa yang saya gambarkan dalam filem itu. 

"Paling lucu saya tersalah masuk kelab dan pelik mengapa semuanya lelaki dan barulah saya tahu ia adalah kelab gay tetapi ia pengalaman berharga," ujarnya. 


Dalam pada itu, Amar berkata, dia sedar tindakan beraninya melakonkan adegan ranjang akan mendapat perhatian namun dia sudah bersedia untuk menghadapi kritikan pedas daripada peminat. 

Bagaimanapun jelas Amar, ap dilakukan itu hanyalah atas dasar kerja dan cintanya terhadap lakonan selain masih tahu batasnya sebagai seorang Islam dan suami kepada Arna. 

"Saya belum pernah menghadapi situasi kontroversi namun saya sudah bersedia sekiranya lakonan saya itu nanti akan mendapat reaksi negatif penonton. 

"Jika orang tidak boleh terima itu maknanya mereka tidak faham kerja saya sebagai pelakon namun saya anggap itu perkara biasa," jelasnya.

Sumber: Mstar Online