ALOR SETAR - Terdapat dua punca sebenar yang perlu diselesaikan segera untuk mempercepatkan penyerahan Taman Muafakat Dulang kepada penduduk di daerah Yan yang sebelum ini terjejas akibat hakisan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga dan Perumahan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, dua perkara tersebut adalah membabitkan senarai penerima rumah yang perlu diputuskan segera oleh Pejabat Daerah berkenaan.
Jelas Badrol Hisham, Pejabat Daerah Yan perlu melakukan penilaian yang teliti terhadap senarai penerima yang benar-benar layak untuk menerima projek perumahan tersebut bagi mengelak pertikaian pada masa yang akan datang.
"Perkara pertama adalah senarai penerima rumah yang sedang disenarai pendek oleh Pejabat Daerah Yan.
"Pejabat Daerah perlu membuat penilaian yang teliti dan rapi supaya tidak timbul masalah kemudian hari," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com, semalam.
Exco Kerajaan Negeri itu berkata, perkara kedua yang perlu diselesaikan adalah berhubung sijil "certificate of completion and compliance (CCC)" yang belum mendapat kelulusan dari arkitek projek tersebut.
Namun begitu katanya, pihak pengurusan projek sedang berunding dengan jabatan teknikal dalam usaha mendapatkan surat kelulusan yang diperlukan.
"Perkara kedua adalah kerana projek berkenaan belum mendapat certificate of completion and compliance (CCC).
"Projek itu belum mendapat CCC daripada pihak arkitek disebabkan beberapa jabatan teknikal belum memberi surat kelulusan. pihak pengurusan projek sedang berunding dengan jabatan teknikal terbabit untuk menyelesaikan isu itu dengan segera," jelasnya lagi.
Beliau berkata, berpunca dari dua perkara tersebut, maka kerajaan negeri belum dapat menyerahkan rumah berkenaan kepada penghuni terbabit.
Walau bagaimanapun, Badrol Hisham menjelaskan bahawa pihaknya telah mendapat arahan dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera bagi memastikan penduduk terbabit dapat berpindah ke rumah baru mereka di Taman Muafakat Dulang itu.
"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas kepihatinan bakal penghuni yang mahu mendapat rumah dengan segera dan di pihak kerajaan memberi sepenuh komitmen mahu menyerahkan rumah berkenaan dengan segera.
"Kerajaan tidak ada niat membiarkan orang ramai ternanti-nanti bila mereka dapat memasuki rumah berkenaan dan berharap orang ramai memahami proses yang perlu dilakukan kerajaan," katanya lagi.
Beberapa penduduk baru-baru ini dilaporkan memohon supaya Kerajaan Negeri segera menyerahkan rumah terbabit kerana menyangka taman perumahan telah siap sepenuhnya ekoran Yayasan Haji Zainuddin (YHZ) dikatakan sudah menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).
Sebanyak 100 buah rumah telah dibina di Taman Muafakat Dulang itu dibina bagi menempatkan penduduk terlibat hakisan hasil sumbangan Yayasan Haji Zainuddin (YHZ) dan diuruskan kerajaan negeri.
Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Exco Kerajaan Negeri Kedah tersebut; - Kedahnews.com
Penempatan Projek Perumahan Taman Muafakat Dulang, Yan
Kerajaan Negeri mengambil maklum dan perihatin dengan masalah orang ramai yang masih belum dapat menduduki Rumah di Taman Muafakat Dulang Yan, seperti yang disuarakan beberapa orang dalam laporan akhbar beberapa hari lepas.
Perkara berkenaan telah diperbincangkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri yang diadakan Rabu lepas dimana kerajaan negeri telah dimaklumkan perkembangan projek berkenaan.
YAB Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri telah memberi arahan agar beberapa perkara yang melambatkan kemasukan penghuni rumah berkenaan diselesaikan segera.
Dua perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum rumah berkenaan diserahkan kepada penduduk yang terlibat dengan hakisan Pantai di Mukim Dulang, Yan.
Perkara pertama adalah senarai penerima rumah yang sedang disenarai pendek oleh Pejabat Daerah Yan. Pejabat Daerah perlu membuat penilaian yang teliti dan rapi supaya tidak timbul masalah kemudian hari.
Perkara kedua adalah kerana projek berkenaan belum mendapat certificate of completion and compliance (CCC). Projek itu belum mendapat CCC daripada pihak arkitek disebabkan beberapa jabatan teknikal belum memberi surat kelulusan. pihak pengurusan projek sedang berunding dengan jabatan teknikal terbabit untuk menyelesaikan isu itu dengan segera.
Memandangkan CCC masih belum diperolehi maka kerajaan negeri belum lagi dapat menawarkan rumah berkenaan kepada penghuni.
Kerajaan negeri sedaya upaya membantu agar isu-isu berbangkit dapat diselesaikan dengan segera dan rumah-rumah berkenaan dapat ditawarkan dalam masa terdekat.
Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas kepihatinan bakal penghuni yang mahu mendapat rumah dengan segera dan di pihak kerajaan memberi sepenuh komitmen mahu menyerahkan rumah berkenaan dengan segera.
Kerajaan tidak ada niat membiarkan orang ramai ternanti-nanti bila mereka dapat memasuki rumah berkenaan dan berharap orang ramai memahami proses yang perlu dilakukan kerajaan.
Datuk Badrol Hisham Hashim
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga dan Perumahan
7 Julai 2017