SHAH ALAM - " Kepada pemfitnah-pemfinah sekalian, bertaubatlah, semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dari bahaya fitnah," berikut kata-kata seorang pengguna Facebook, Mohd Faizal Johary berkaitan dengan punca kematian pelajar Tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadhaffi.
Laporan perubatan yang dikeluarkan kementerian Kesihatan ke Thaqif mendapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan yang ditularkan
Dalam kenyataan itu, dimaklumkan penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.
Susulan itu, orang ramai mula memberikan komen meminta netizen yang sebelum ini lantang menuding jari agar meminta maaf.
Pengguna Facebook, Syahkhairul Muhammad Muktar menasihatkan agar netizen 'keyboard warrior' agar segera meminta maaf kepada pihak sekolah dan warden tersebut.
"Yang acah-acah hero,pergi hentam warden dan sekolah tahfiz, sebar benda tidak elok dah boleh istighfar banyak-banyak, datang jumpa orang tersebut dan mohon maaf," tulisnya.
Bagi pengguna Harris Adam, semua ini merupakan dugaan Allah kepada umatnya.
"Tengoklah cara Allah SWT nak uji semua, bagaimana kita mudah melatah, terus menjatuhkan hukuman kepada warden tersebut.
"Sekarang Allah SWT dah tunjukkan pada kita, mungkin juga berkat doa daripada pihak teraniaya itu sendiri. Korang semua kene ingat, arwah adalah tahfiz, Insya-ALLAH syurga baginya.
"Yang tertuduh sudah terbukti tidak bersalah, yang menghina, memaki dan memfitnah dahulu tu macam mana? pandai-pandai lah cari jalan nak minta ampun ya," tulisnya pula.
Bagi Siti Fendi pula, dia mengharapkan perkara yang berlaku ini mudah-mudahan menjadi pengajaran bagi semua orang.
"Semoga Allah membuka pintu hati kita supaya tidak menilai orang dari luarannya sahaja. Al-Fatihah buat arwah Thaqif," tulisnya.
Perkara tersebut turut disokong oleh penguna Facebook, Parameswari Kandasamy.
"Biarlah apa pun, kita terpaksa menerima hakikat iaitu amanah yang dipinjamkan selama 11 tahun telah selamat dikembalikan kepadaNya. Syurga buat mu. 'Rest in Peace' (Bersemadi dengan tenang," tulisnya pula.
Sumber: Sinar Harian